Penerima bantuan sara hidup veteran ATM cecah 33,655

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Seramai 33,655 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini menerima bantuan sara hidup menerusi inisiatif kebajikan Kementerian Pertahanan (Mindef), sehingga Jun lalu.

Mindef dalam kenyataan berkata, jumlah penerima bantuan itu meningkat berbanding kira-kira 15,000 penerima sebelum ini, selaras dengan komitmen kementerian memperkasa kesejahteraan golongan veteran ATM.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengadakan lawatan ke 15 kediaman veteran, balu veteran serta keluarga yang mempunyai isteri atau anak OKU sempena program Peduli Veteran Madani (PVM) Daerah Merlimau anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Menurut Mindef, lawatan tersebut memberi peluang kepada beliau meninjau sendiri keadaan kehidupan veteran di samping menyampaikan pelbagai bentuk bantuan mengikut keperluan penerima.

Jelas kenyataan itu, ia termasuk bantuan baik pulih rumah, peralatan perubatan, bantuan sara hidup dan keperluan harian.

“Program ini adalah merupakan platform interaksi dua hala yang memperkukuh hubungan antara kementerian dan komuniti veteran melalui pengumpulan maklum balas secara langsung bagi tujuan penambahbaikan dasar serta inisiatif kebajikan pada masa hadapan,” kata Mindef.

Katanya, PVM turut menjadi platform interaksi dua hala antara kementerian dan komuniti veteran bagi mendapatkan maklum balas secara langsung untuk tujuan penambahbaikan dasar serta inisiatif kebajikan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Mindef menerima peningkatan peruntukan secara konsisten sejak 2023 dengan peruntukan tertinggi kepada JHEV ATM direkodkan pada tahun ini sebanyak RM303.3 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, RM274.4 juta atau 90 peratus disalurkan bagi manfaat kebajikan veteran ATM menerusi lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan keupayaan sosioekonomi.

Mindef menambah, selain bantuan sara hidup, sehingga Jun lalu lebih 281 veteran menerima manfaat bantuan peralatan pesakit dan bencana alam, manakala lebih 1,600 penerima mendapat bantuan mengurus jenazah.

“Kementerian juga cakna kepada ekosistem kesejahteraan veteran ATM melalui penyaluran kepada lebih 4,738 veteran di bawah skim bantuan kesihatan dengan perbelanjaan lebih RM38 juta sehingga Jun 2026.

“Sehingga kini, 34 projek bina baharu dan 323 baik pulih rumah telah diluluskan untuk pelaksanaan. Inisiatif pendidikan anak-anak veteran juga diteruskan dengan penyaluran bantuan persekolahan, bantuan kemasukan anak-anak ke IPT,” katanya.

Dalam pada itu, Mindef berkata, usaha memperkasa sosioekonomi veteran turut dilaksanakan melalui pelbagai kerjasama strategik termasuk program Puvet ATM Master Class, IPR Intan, MyHero Tani, Veteran MyWira, Prowira-RTW Graduan dan Work-Based Learning.

Mindef menegaskan iltizam untuk memastikan jasa serta pengorbanan warga veteran terus dihargai, selain memperkukuh kesejahteraan mereka sebagai sebahagian daripada agenda memperkasakan ekosistem pertahanan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |