PELAJAR semester enam Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu baru-baru ini berjaya menghasilkan 10 produk makanan baharu berasaskan labu dan cili yang merentas budaya.
Mereka terdiri daripada 61 pelajar Sarjana Muda Teknologi Makanan dan Sarjana Muda Pembangunan Makanan Halal UniSZA.
Program Pelancaran Produk Makanan Baharu bertemakan Warisan Tempatan, Persada Global: Inovasi Makanan Tradisional itu turut disertai tiga pelajar mobiliti antarabangsa dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Brunei.
Dekan FBIM, Prof. Dr. Hafizan Juahir berkata, setiap pelajar telah diberi tugasan bagi membangunkan produk makanan baharu berasaskan labu dan cili yang ditanam di ladang fakulti tersebut terletak di kampus UniSZA Besut.
“Produk makanan baharu itu perlulah mengetengahkan potensi sumber pertanian tempatan dalam menghasilkan produk yang berpotensi dikomersialkan serta berdaya saing di pasaran global.
“Ia terbukti apabila penganjuran program sama sebelum ini berjaya menghasilkan beberapa produk makanan yang berjaya menembusi pasaran seperti kerepek Vitato dan jus bunga telang,” katanya selepas mengetuai penjurian program itu di kampus UniSZA Besut baru-baru ini.
KUMPULAN Embere dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Produk Makanan Baharu 2026 di UniSZA Besut, Terengganu baru-baru ini.Hafizan berkata, berdasarkan penilaian, antara produk makanan berasaskan labu dan cili dihasilkan pelajar yang berpotensi tinggi ialah Embere iaitu yogurt beku; Kenarois yang merupakan pencuci mulut dan Chatic yang merupakan minuman kombucha.
Sementara itu, inovasi yogurt beku yang diinspirasikan daripada pencuci mulut tradisional Malaysia, pengat labu inovasi kumpulan Embere dinobatkan sebagai juara program tersebut.
Ketua kumpulan Embere, Anis Insyirah Abd. Razak, 24, berkata, dia bersama ahli kumpulannya mengambil masa kira-kira 12 minggu untuk menjalankan penyelidikan dan memperhalusi formulasi sebelum menghasilkan produk Embere.
“Hasrat kami mahu menghasilkan sesuatu yang dekat dengan masyarakat tempatan, namun memiliki elemen moden dan sihat bagi menarik minat pengguna.
“Produk kami dihasilkan menggunakan gabungan yogurt greek, puri labu, santan dan gula melaka yang memberikan rasa berkrim, menyegarkan dan unik,” ujarnya.
Anis Insyirah berkata, selain mengetengahkan cita rasa tradisi, produk Embere tersebut turut diperkaya dengan khasiat probiotik yang menjadikannya pilihan pencuci mulut yang berkhasiat.
Sementara itu, ahli kumpulan Kenarois, Siti Aisyah Nasaruddin,24, pula berkata, Kenarois yang memenangi tempat kedua pula merupakan pencuci mulut gabungan Malaysia-Perancis yang menampilkan lapisan ketayap pandan, bavarois kastard serta biji labu panggang, kataifi dan emping kelapa bakar.
Dia berkata, idea menghasilkan produk tersebut tercetus daripada keinginan untuk mengangkat kuih ketayap tradisional ke tahap lebih moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.
“Gabungan elemen pastri Perancis dengan rasa tempatan membolehkan Kenarois tampil sebagai pencuci mulut premium yang sesuai dengan cita rasa pengguna masa kini terutama dalam kalangan golongan muda dan pelancong,” katanya.

1 day ago
10
















































