SUBANG JAYA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah di sini, petang semalam diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluas sehingga melebihi lapan kilometer.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawasan pencarian diperluas mengikut arus sungai berikutan keadaan aliran air yang laju.
Katanya, operasi yang diteruskan sejak tengah malam tadi dibahagikan kepada tiga sektor bagi memperluas kawasan pencarian mangsa.
“Pencarian di Sektor A meliputi jarak 300 meter, Sektor B sejauh dua kilometer manakala Sektor C melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis.
“Pencarian dilakukan menggunakan bot JBPM menerusi kaedah pencarian di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, tiga bot turut diturunkan di tiga lokasi sektor pencarian kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Katanya, setakat pukul 9.25 pagi ini, anggota melakukan pencarian di pusat pemeriksaan kedua membabitkan laluan menghala ke Puchong menggunakan bot.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi SAR berdepan beberapa cabaran terutama keadaan arus sungai yang laju.
“Selain arus laju, kita bimbang sekiranya berlaku hujan di kawasan hulu yang boleh menyebabkan arus menjadi lebih deras.
“Terdapat juga beberapa kawasan yang menjadi jeram semula jadi menyebabkan bot tidak boleh melaluinya dan terpaksa dipindahkan menggunakan treler,” katanya.
Operasi hari ini melibatkan sembilan anggota dengan kekuatan dua bot, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Semalam, Kosmo! melaporkan mangsa yang merupakan warga Indonesia terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6.30 petang ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya berhampiran sebuah pasar raya di Persiaran Subang Indah.
JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba kira-kira 10 minit kemudian. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3
















































