Pit Stop Petron bantu mudahkan perjalanan harian warga Lembah Klang

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Bagi ramai warga Lembah Klang, perjalanan harian mengambil masa antara satu hingga dua jam di jalan raya, terutamanya ketika waktu puncak yang kadangkala menyebabkan mereka tidak sempat bersarapan, melewatkan waktu makan atau mencari pilihan makanan pada saat-saat akhir.

Bagi menyokong golongan ini, Petron Malaysia hari ini melancarkan Program Pit Stop Petron yang memudahkan para pengguna jalan raya menikmati hidangan ringkas pada harga yang berpatutan ketika singgah mengisi minyak di stesen minyak Petron.

Pada harga hanya RM4.90, pelanggan Petron kini boleh menikmati set kombo yang merangkumi satu hidangan makanan dan satu minuman, tersedia dari 6 pagi hingga 8 pagi serta 6 petang hingga 8 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

Program Pit Stop Petron berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026 di 176 buah stesen minyak Petron terpilih di Lembah Klang.

Ketua Perniagaan Runcit, Petron Malaysia, Shaliza Mohd. Sidek berkata, sebagai sebuah syarikat yang memberikan perkhidmatan kepada ribuan pengguna jalan raya setiap hari, pihaknya memahami kepentingan untuk menjadikan setiap perjalanan lebih selesa dan mudah.

“Melalui Program Pit Stop Petron, kami berharap dapat menjadi teman perjalanan yang dipercayai dengan menyediakan pilihan hidangan ringan yang berpatutan pada harga Rahmah setiap kali pelanggan singgah di stesen kami.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman bermakna kepada para pengguna jalan raya,” katanya pada majlis pelancaran di sini, yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Sementara itu, Hannah berkata, kerjasama bersama pemain sektor swasta seperti Petron menunjukkan bagaimana pihak industri boleh memainkan peranan dalam menyokong rakyat memenuhi keperluan harian mereka.

“Petron menggunakan apa yang mereka ada iaitu rangkaian stesen minyak yang menjadi sebahagian daripada perjalanan harian rakyat untuk menawarkan satu penyelesaian yang praktikal.

“Inilah bentuk kerjasama korporat yang saya mahu lihat dengan lebih banyak di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |