Hebat pengekodan, Haziq perkasa inovasi IoT

2 hours ago 3

BERMULA dengan minat terhadap pengekodan (coding) sejak remaja, Haziq Ismail kini muncul sebagai antara mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang aktif mencipta inovasi berteraskan Internet of Things (IoT).

Menerusinya, mahasiswa dari Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK), Kampus Besut, Terengganu ini giat berkongsi ilmu teknologi melalui platform media sosial.

“Saya percaya pengekodan bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang berfungsi, sebaliknya perlu memberi nilai kepada masyarakat.

“Coding tanpa hala tuju tidak penting, tetapi masalah apa yang boleh diselesaikan dengan coding itu yang paling penting,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu kepada K-Kampus.

Minat Haziq, 23, terhadap teknologi bermula sejak menghasilkan laman web permainan pertamanya menggunakan Content Management System (CMS) dan C++ sebelum fokusnya beralih kepada pembangunan IoT ketika mengikuti pengajian diploma.

Pendedahan awal daripada penyelia projek tahun akhirnya ketika itu membuka ruang untuknya menghasilkan teknologi mikro pengawal seperti ESP8266 dan membangunkan pelbagai sistem pintar.

Menurutnya, kepuasan sebenar hadir apabila setiap baris kod yang dibangunkan berjaya berinteraksi dengan dunia fizikal melalui sensor serta menghantar data secara masa nyata.

Selain aktif dalam pembangunan projek, Haziq turut dikenali sebagai pencipta kandungan teknologi di TikTok.

“Tidak ramai yang menghasilkan kandungan berkaitan hardware dan IoT di Malaysia.

“Saya melihat ruang itu sebagai peluang untuk berkongsi ilmu, mendokumentasikan projek dan menunjukkan bahawa teknologi sebenarnya menyeronokkan,” katanya.

HAZIQ (kanan) bersama dengan pasukan penyelidik yang juga pensyarah dan mahasiswa UniSZA bergambar dalam satu pameran inovasi yang disertai.

Dia percaya kandungan berbentuk demonstrasi, penyelesaian masalah dan prototaip mampu menarik minat anak muda terhadap bidang teknologi.

Sebagai Presiden RoboPro UniSZA, Haziq bukan sahaja memimpin organisasi pelajar, malah aktif menjayakan program komuniti yang memperkenalkan robotik dan IoT kepada pelajar sekolah.

Antara pengalaman paling bermakna baginya tatkala melihat keterujaan pelajar apabila berjaya menghidupkan komponen elektronik melalui kod yang mereka hasilkan sendiri.

Di bawah kepimpinannya, RoboPro telah melaksanakan pelbagai program di sekolah termasuk memperkenalkan robot Sumo kepada murid di beberapa buah sekolah sekitar Terengganu.

Kelab itu turut menganjurkan program teknologi di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian menggunakan modul ESP8266 Web Server Module V1.2 yang dibangunkan sendiri olehnya bagi memudahkan pembelajaran IoT.

Dalam bidang penyelidikan pula, Haziq terlibat dalam beberapa projek bersama pensyarah UniSZA.

Antaranya projek IoT Safeguard Infant, sistem keselamatan bayi yang menggunakan sensor untuk mengesan kehadiran bayi di dalam kereta yang boleh membawa maut.

Projek tersebut berjaya meraih pingat gangsa pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2024 sekali gus menjadi pengalaman awal yang membentuk kemahirannya dalam aspek penyampaian idea dan pembangunan penyelesaian berasaskan masalah sebenar.

IBU bapa Haziq banyak memberi inspirasi dan membentuk dirinya pada hari ini.

Haziq turut menyertai pembangunan Solving Maze Robot menggunakan algoritma Left-Hand Rule (LHR), selain kini sedang menjalankan penyelidikan berkaitan IoT Siren yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dan IoT atau lebih dikenali sebagai AIoT.

Namun, projek paling dibanggakan adalah pembangunan sistem eTAG SmartRetail Electronic Shelf Label, iaitu sistem tanda harga elektronik berasaskan e-Paper yang membolehkan harga produk dikemas kini terus daripada pangkalan data ke paparan fizikal tanpa perlu ditukar secara manual.

Menurutnya, idea tersebut tercetus daripada pengalaman menemani bapanya membeli-belah di pasar raya apabila sering mendapati harga pada rak tidak sama dengan harga ketika pembayaran di kaunter.

Inovasi tersebut berjaya meraih Anugerah Emas dalam FYP Showcase UniSZA hasil gabungan teknologi perkakasan, sistem web dan seni bina rangkaian yang praktikal untuk aplikasi industri.

Bagi Haziq, kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang datang secara mudah dan mengakui pernah melalui pelbagai kegagalan dalam pertandingan inovasi.

Dalam menguruskan pelbagai tanggungjawab sebagai mahasiswa, pemimpin pelajar, penyelidik dan pencipta kandungan digital, Haziq mengamalkan disiplin serta perancangan kerja yang sistematik.

Mengulas mengenai individu yang banyak membentuk dirinya, Haziq mengakui sokongan ibu bapanya menjadi sumber inspirasi utama selain barisan pensyarah UniSZA.

Tamat pengajian kelak, Haziq berhasrat menimba pengalaman dalam syarikat teknologi bersaiz kecil sebelum merealisasikan impiannya menubuhkan syarikat pemula (startup) teknologi sendiri, MoonJiq Group dengan fokus kepada pembangunan penyelesaian IoT dan teknologi pintar.

Pada masa sama, dia turut merancang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Sains Komputer dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan berkaitan teknologi industri peruncitan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |