SETIAP institusi keluarga mempunyai kisah warna-warni kehidupan yang tersendiri.
Kisah Mitos kali ini membabitkan pengalaman menyeramkan keluarga seorang pesara polis yang sering berpindah-randah tempat bertugas mengikut arahan pihak atasan.
Menurut Hashim Harun, 62, yang tinggal di Banting, Selangor sebagai seorang polis sepanjang bertugas menjaga keamanan negara ini dia pernah ditugaskan di negeri selatan dan utara tanah air.
“Sebagai anggota polis bertukar balai bertugas memang lumrah, tambahan jika kita dinaikkan pangkat. Ini menyebabkan kita perlu tinggal di rumah yang berbeza.
“Jika ada kuarters di tempat baharu dan berhampiran kemudahan seperti sekolah, maka tidak perlulah pening hendak mencari rumah sewa,” katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.
Hashim berkata, semasa ditugaskan di negeri selatan Semenanjung Malaysia 20 tahun lalu, dia dan keluarga telah menyewa sebuah rumah dalam kawasan kampung dan memilih untuk tidak tinggal di kuarters.
Katanya lagi, rumah kampung empat bilik itu memang berada dalam keadaan baik dan dipilih kerana berhampiran klinik dan sekolah.
“Anak saya tiga orang, berusia antara 10 hingga 15 tahun. Anak sulung perempuan dan dua lagi lelaki, semuanya sudah bersekolah waktu itu.
“Apabila berada di tempat baharu, pada mulanya kami ingatkan tiada apa-apa hinggalah timbul kejadian menyeramkan dan bunyi pelik bermula di dalam sebuah bilik yang diisi barang-barang tidak dipakai pemilik rumah,” katanya.
Jelas Hashim lagi, bila peristiwa tersebut berlaku dia teringat pesanan orang-orang tua yang mengatakan rumah atau bilik jika tidak dihuni selama tiga hari akan diduduki makhluk halus seperti jin.
Seingat dirinya katanya lagi, dia sekeluarga sudah memberi salam sebelum menjejakkan kaki ke dalam rumah separa batu dan papan tersebut.
“Sebagai Muslim membaca surah Yasin setiap hari adalah lumrah, namun gangguan tetap berlaku di dalam rumah itu tidak mengira waktu.
“Kadang-kadang tengah malam bunyi pinggan mangkuk berlaga dan kotak berisi barang ditolak ke sana sini berlaku di bilik yang terletak berhampiran dapur,” katanya.
Hashim memberitahu, isterinya juga sering ‘diganggu’ pada waktu siang apabila dia keluar bertugas dan anak-anak pergi ke sekolah.
Kata Hashim yang kini berniaga kecil-kecilan, kadang-kadang isterinya yang sedang memasak di dapur pada waktu tengah hari terdengar orang memberi salam di hadapan rumah.
“Apa yang pelik suara tersebut bunyinya seperti orang tua lelaki dan wanita dan ada waktunya seperti suara anak-anaknya yang baru balik dari sekolah.
“Saya kata kepada isteri, mungkin dia hanya berkhayal atau rumah sebelah yang menerima kunjungan orang. Namun jelas isteri, suara itu betul-betul depan pintu di luar rumah, namun sepi selepas dia menjawab salam,” katanya.
Cerita Hashim lagi, ada dua tiga kali ketika mereka sekeluarga sedang menonton televisyen di ruang tamu terdengar bunyi orang sedang menggunakan tandas.
Apabila keadaan itu berlaku, Hashim berkata, sambil menonton televisyen kadangkala dia boleh sempat bergurau dengan ‘pengguna’ tandas misteri tersebut agar tidak lupa menyiram (flush) selepas membuang air.
“Apa yang saya bimbangkan jika makhluk halus menampakkan fizikalnya mahupun merasuk anak dan isteri.
“Kadang-kadang saya yang kepenatan pulang daripada bertugas syif malam berhadapan juga dengan peristiwa pelik ketika hendak ke tandas apabila ia dikunci dari dalam. Sedangkan kesemua ahli keluarga sedang tidur,” katanya.
Jelas Hashim, tuan rumah tidak mempunyai jawapan khusus yang boleh merungkai kejadian-kejadian misteri tersebut kerana beliau mempunyai lebih 10 rumah sewa untuk dijaga.
Pernah juga Hashim bertanya dengan nada merayu kepada jiran berdekatan rumah tersebut jika mereka tahu tentang gangguan-gangguan itu dan adakah penyewa-penyewa sebelum ini pernah mengadu diganggu.
“Apa yang pelik, jiran-jiran seolah-olah menyembunyikan sesuatu.
“Malah mereka berkata dalam nada gurauan, mungkin makhluk halus tersebut sekadar mengusik dan ingin bermanja dengan keluarga saya,” ujarnya.
Oleh kerana gangguan-gangguan berbentuk bunyi semakin kerap, Hashim berkata, dia telah menjemput seorang individu yang arif hal mistik ini untuk ‘memulihkan’ gangguan misteri di rumah sewanya.
Lelaki berusia lewat 60-an tersebut jelas Hashim, bukanlah bomoh atau dukun yang kebiasaannya membakar kemenyan atau membaca jampi serapah yang aneh-aneh bacaannya.
“Sebaliknya orangnya agak tegap, bermisai tebal dan memakai baju Melayu digandingkan seluar khakis.
“Sambil membetulkan songkok tingginya dan duduk bersila atas lantai, lelaki itu membaca ayat-ayat suci al-Quran sambil berdoa panjang diselang-seli menyebut 99 nama-nama Allah,” katanya.
Habis sahaja upacara berlangsung selama setengah jam itu Hashim berkata, individu yang berwajah garang tetapi bercakap lembut itu meminta segelas air sejuk untuk diminum.
Cerita Hashim lagi, berdasarkan makluman lelaki tua tersebut, gangguan-gangguan yang berlaku adalah disebabkan tapak asal rumah itu sememangnya laluan makhluk halus yang dipanggil bunian untuk ke destinasi mereka.
“Mendengar kata-kata lelaki tua tersebut saya seisi keluarga terdiam dan bulu roma masing-masing meremang.
“Difahamkan dia sudah berkomunikasi dengan makhluk tersebut dan meminta ‘mereka’ tidak lagi lalu di kawasan rumah sewa saya,” katanya.
Jelas Hashim, lelaki tua itu memberitahu, bunyi di bilik air kemungkinan besar makhluk halus itu tumpang membasuh kaki atau menunaikan ‘hajat’.
“Makhluk ini yang pasti tidak berniat jahat, cuma sebab kita tidak nampak kita merasakan ia mengganggu untuk menakutkan, sedangkan ia tumpang lalu di muka bumi Allah ini,” ujar Hashim.

6 hours ago
4














![[VIDEO] Siapa kata Klang panas semalam, hari ini sudah ribut](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-08-at-2.41.15-PM.jpeg)

































