‘Hadiah merdeka’ kenaikan pangkat ATM selaras Angkatan Masa Hadapan

19 hours ago 9

JOHOR BAHRU – ‘Hadiah merdeka’ yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan proses kenaikan pangkat pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat selari dengan perancangan kerajaan untuk membentuk Angkatan Masa Hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu struktur organisasi dan perjawatan ATM sememangnya telah diberi perhatian kementeriannya sejak 2022.

“Penstrukturan itu penting bagi memastikan sistem perjawatan serta laluan kerjaya anggota ATM dapat memenuhi keperluan pasukan yang bakal berdepan perubahan teknologi dan landskap keselamatan yang semakin pantas.

“Sejak daripada tahun 2022, kita telah nyatakan bahawa kita perlu melihat semula struktur organisasi dan perjawatan memandangkan kita telah merancang untuk mewujudkan Angkatan Masa Hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas bayangan Perdana Menteri yang bakal mengumumkan ‘hadiah merdeka’ buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM berkaitan proses kenaikan pangkat pegawai kedua-dua pasukan berkenaan.

Terdahulu, Mohamed Khaled hadir ke Majlis Kesyukuran Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang di Puncak Kasih, Pasir Gudang di sini hari ini.

Anwar sebelum ini memaklumkan perkara itu pada prinsipnya telah dipersetujui selepas beliau meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz meneliti isu proses kenaikan pangkat yang dibangkitkan.

Mohamed Khaled berkata, Mindef sebelum ini telah mengemukakan tiga komponen utama penambahbaikan iaitu struktur dan organisasi ATM, penambahbaikan gred serta kemajuan kerjaya, selain elaun dan kemudahan untuk warga pasukan itu.

Katanya, penambahbaikan struktur dan perjawatan amat penting kerana terdapat pegawai yang mempunyai kompetensi serta prestasi tinggi, namun kemajuan kerjaya mereka masih terhad akibat kekosongan dalam struktur perjawatan sedia ada.

“Walaupun mereka sangat kompeten tetapi kerana tidak ada kekosongan, tidak dapat menaikkan pangkat. Kita mahu memastikan terdapat kesepadanan antara pangkat, gred, tahap tanggungjawab dan peranan strategik yang dipikul oleh warga ATM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan penambahbaikan berkenaan turut perlu mengambil kira keunikan profesion ketenteraan, termasuk keperluan latihan serta kursus berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi anggota.

Mohamed Khaled menegaskan bahawa sebarang kenaikan pangkat tidak bermakna ia diberikan secara automatik, sebaliknya masih berasaskan meritokrasi dengan mengambil kira prestasi, kompetensi, integriti dan keperluan organisasi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |