Umur 49 baru tahu rupanya darah jenis ‘rare’

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tidak menyangka darah kumpulan B miliknya sebenarnya tergolong dalam kategori darah jarang dijumpai atau ‘rare’, biarpun sudah bertahun-tahun menjadi penderma darah.

Mohammad Aslam Shariff Mohamed, 59, berkata, ia hanya diketahui kira-kira 10 tahun lalu selepas dimaklumkan pihak hospital mengenai keunikan darah­nya yang mempunyai fenotip Fy(a-b+).

“Pada mulanya saya sendiri tidak tahu darah saya berbeza daripada yang biasa, nampak ada pelekat berbeza tapi saya tak pernah tahu. Apabila mereka (hospital) perlukan, mereka akan telefon dan minta saya datang.

“Sejak 10 tahun lalu baru tahu darah saya jenis ‘rare’ dan amat diperlukan. Sebab itu mesti akan cuba datang. Kalau tak datang tu memang akan rasa serba salah,” katanya ditemui Kosmo! Ahad selepas Majlis Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Pusat Darah Negara (PDN) 2026 di sini semalam.

Fenotip Fy(a-b+) merujuk kepada profil antigen dalam sistem kumpulan darah Duffy, iaitu sel darah merah tiada antigen Fya, namun memiliki antigen Fyb.

Menurut PDN, darah Mohammad Aslam dikategorikan sebagai darah jarang dijumpai, sekali gus menyebabkan beliau antara penderma yang akan dihubungi apabila terdapat keperluan terhadap darah sepadan.

Mohammad Aslam yang be­kerja sebagai ejen insurans berkata, dia mula menderma darah ketika berusia dalam lingkungan 30-an dan sehingga kini sudah berbuat demikian seba­nyak 43 kali.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, amalan menderma darah kini sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya sehingga berasa seperti ada sesuatu yang kurang sekiranya terlalu lama tidak berbuat demikian.

“Saya tidak pernah bosan, tak pernah jemu. Kalau dua atau tiga bulan tidak derma, rasa macam ada sesuatu yang kurang. Selepas menderma, rasa lega, rasa ‘sesuatu’ sudah lepas.

“Bagi saya, sekurang-kurangnya dalam masa sama kita dapat membantu orang lain,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |