Jelajah solo di bumi Latin, Azhari disangka orang Mexico

7 hours ago 5

IMPIAN mengembara dengan motosikal merentasi benua sering kali dianggap sebagai cita-cita luar biasa yang hanya mampu direalisasikan oleh segelintir individu.

Namun bagi Datuk Azhari Jemaon, impian tersebut bukan sekadar memenuhi minat terhadap motosikal, sebaliknya menjadi perjalanan mencari makna kehidupan, menguji keupayaan diri serta membuktikan bahawa keberanian, persiapan dan tawakal mampu membawa seseorang merentasi ribuan kilometer di bumi asing.

Kembara solonya selama hampir tiga bulan di Amerika Selatan bukan sahaja dipenuhi panorama alam yang menakjubkan, malah dihiasi pelbagai cabaran yang menguji mental, fizikal dan ketahanan emosi.

Menurut anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, dirinya bukanlah nama baharu dalam dunia pengembaraan bermotosikal. Selepas menamatkan pengajian sekitar tahun 1996, Azhari memulakan kerjaya di luar negara bermula pada tahun 1998 sehingga 2010.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya berpeluang bekerja di beberapa negara termasuk Ukraine, Chile, Taiwan, El Salvador, Amerika Syarikat (AS) dan Jamaica.

“Pengalaman tinggal di pelbagai negara telah membuka perspektif baharu terhadap budaya, bahasa dan cara hidup masyarakat dunia, sekali gus menjadi asas kepada minat mendalam saya terhadap aktiviti penjelajahan,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, minat terhadap motosikal bermula sekitar tahun 2005 apabila dia membeli sebuah Yamaha R1.

Namun, Azhari mengakui ketika itu dia masih belum benar-benar mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi sebelum beralih kepada BMW RT dan kemudian BMW F800 GS yang lebih sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Titik perubahan sebenar berlaku pada tahun 2012 apabila dia menyertai kembara darat dari Istanbul, Turkiye ke London, Britain sempena Sukan Olimpik London 2012.

Pengalaman itu membuka mata bahawa motosikal bukan sekadar pengangkutan, malah medium terbaik untuk menikmati keindahan dunia secara lebih dekat.

Setahun kemudian, Azhari menyertai ekspedisi mengelilingi dunia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bersama empat penunggang motosikal lain dengan laluan Malaysia, Britain, Argentina, Kanada, Singapura sebelum kembali ke tanah air.

Namun, minat tersebut terhenti separuh jalan apabila dia terlibat dalam kemalangan di Kazakhstan.

“Insiden itu memaksa saya berehat hampir sedekad daripada pengembaraan ekstrem, tetapi keinginan untuk kembali menjelajah tidak pernah padam.

“Selama 10 tahun itu memang rasa rindu untuk menyambung semula perjalanan sentiasa ada dan semangat saya tidak pernah hilang,” ujarnya.

Bergambar bersama Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham ketika singgah di Kedutaan Malaysia di Lima, Peru.

Katanya lagi, hasrat untuk mengajak rakan-rakan menyertai ekspedisi baharu akhirnya tidak kesampaian kerana masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Daripada terus menunggu, Azhari membuat keputusan yang dianggap paling berani dalam hidupnya iaitu mengembara secara solo.

Bagi merealisasikan impian itu, beliau membeli sebuah BMW F850 GS Adventure yang direka khusus untuk perjalanan lasak merentasi pelbagai bentuk muka bumi.

Sepanjang tahun 2023, Azhari memberi tumpuan penuh terhadap perancangan dan persediaan.

Selain menyediakan dokumen perjalanan, dia turut melakukan penyelidikan mengenai laluan, keadaan cuaca, aspek keselamatan, penyelenggaraan motosikal serta keperluan logistik.

Pada Oktober 2025, motosikal Azhari dihantar dari Pelabuhan Klang ke Amerika Selatan. Bagaimanapun, penghantaran tersebut mengambil masa hampir tiga bulan selepas kapal yang membawa motosikal itu terpaksa berpatah balik ke Singapura susulan ketegangan melibatkan serangan Amerika Syarikat terhadap Venezuela sebelum laluan penghantaran ditukar daripada Atlantik ke kawasan Pasifik.

“Pada Januari 2026, setelah penghantaran motosikal selesai, saya akhirnya tiba di Montevideo, Uruguay untuk memulakan pengembaraan yang sekian lama dinantikan.

“Sebelum memulakan perjalanan, saya memaklumkan pergerakan kepada Kedutaan Malaysia dan dalam kembara itu saya singgah di beberapa pejabat Kedutaan Malaysia di bandar utama seperti Buenos Aires di Argentina, Santiago di Chile dan Lima di Peru,” kongsinya yang pulang ke Malaysia sekitar Mac lalu.

Bermula dari Uruguay, Azhari menunggang sejauh hampir 3,200 kilometer ke bandar paling selatan dunia, Ushuaia di Argentina sebelum meneruskan perjalanan ke Chile, Bolivia dan Peru.

Perancangan asal untuk memasuki Ecuador terpaksa dibatalkan selepas negara itu berdepan rusuhan, menyebabkan dia berpatah balik ke Peru sebelum kembali ke Malaysia.

Keseluruhan perjalanan itu pada asalnya dirancang selama enam bulan, namun terpaksa dipendekkan kepada sekitar 90 hingga 100 hari apabila Azhari menerima berita bapanya meninggal dunia selain keadaan ibunya yang kurang sihat.

Pelbagai cabaran dilalui ketika bermotosikal secara solo di negara-negara Amerika Selatan.

Menurut Azhari, persediaan paling penting dalam ekspedisi sebegini bukanlah wang atau motosikal semata-mata, sebaliknya kekuatan mental.

“Kalau hendak buat kembara solo, mental jangan koyak. Kita akan berdepan budaya yang berbeza, makanan yang asing, rasa sunyi dan rindu kepada keluarga. Semua itu perlu dihadapi dengan tenang.

“Pada masa sama perlu memilih motosikal yang sesuai untuk perjalanan ekstrem sebagai contoh, saya pilih motosikal BMW kerana mempunyai rangkaian pusat servis di kebanyakan negara, sekali gus memudahkan urusan penyelenggaraan sekiranya berlaku kerosakan,” jelasnya.

Aspek keselamatan pula menjadi antara kebimbangan utama kerana beberapa negara di Amerika Selatan terkenal dengan kadar jenayah yang tinggi dan kewujudan laluan kartel dadah.

Bagaimanapun, Azhari bersyukur sepanjang perjalanan, urusannya sentiasa dipermudahkan. Malah ketika motosikalnya terjatuh di kawasan terpencil, sebuah kenderaan tentera secara kebetulan melalui laluan tersebut dan membantu mengangkat motosikal.

Cabaran terbesar yang benar-benar menguji ketahanan fizikal berlaku ketika melalui Banjaran Andes di Bolivia pada ketinggian melebihi 3,000 meter dari aras laut.

“Pada mulanya saya hanya berasa mengantuk dan jantung berdebar, namun apabila tiba di kawasan imigresen pada altitud sekitar 3,700 meter, saya mengalami kesukaran bernafas akibat acute mountain sickness atau penyakit altitud tinggi.

“Nasib baik pegawai imigresen nampak keadaan saya tidak normal. Mereka terus memberikan bantuan oksigen. Dua hari juga saya ambil masa untuk sesuaikan diri sebelum boleh meneruskan perjalanan,” kongsinya.

Selain faktor kesihatan, keadaan jalan raya turut menjadi cabaran utama. Bolivia disifatkan sebagai laluan paling sukar kerana dipenuhi jalan berbatu, berbukit dan tidak rata.

Di Argentina pula, Azhari terpaksa berdepan tiupan angin kencang yang memerlukan kemahiran tinggi mengawal motosikal, manakala Uruguay dan Chile pula dianggap lebih selamat serta mesra kepada penunggang motosikal.

AZHARI terpesona dengan keajaiban alam Torres del Paine di Chile.

Pengalaman tayar pancit di Puerto Natales, Chile turut menjadi pengajaran penting. Azhari mendapati kebanyakan bengkel hanya membantu membaiki tayar sekiranya pemilik motosikal membuka sendiri tayar tersebut.

Situasi itu membuktikan bahawa pengetahuan asas mekanikal amat penting bagi pengembara bermotosikal. Malah, dia juga pernah hampir kehabisan petrol selepas terlepas sebuah stesen minyak di kawasan pedalaman.

Di sebalik segala cabaran, pengalaman berinteraksi dengan masyarakat tempatan menjadi antara kenangan paling bermakna.

Penguasaan bahasa Sepanyol yang dipelajari ketika bekerja di Chile banyak membantu dirinya berkomunikasi sepanjang pengembaraan.

Azhari menyifatkan masyarakat di Amerika Selatan sebagai sangat mesra dan gemar menyapa orang yang tidak dikenali.

Walaupun ramai tidak mengenali Malaysia, apabila Azhari menyebut Menara Berkembar Petronas, mereka terus mengetahui negara asalnya. Ada juga yang pada mulanya menyangka beliau berasal dari Jepun atau Mexico berdasarkan warna kulit.

“Saya turut tertarik dengan budaya masyarakat Argentina dan Uruguay yang gemar menikmati minuman tradisional dikenali sebagai mate.

“Minuman berasa sedikit kelat dan pahit itu sentiasa dibawa ke mana-mana menggunakan bekas khas, malah dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan sebagai lambang persahabatan,” tambahnya.

Sebagai pengembara solo, segala urusan termasuk merakam video, mengambil gambar dan mendokumentasikan perjalanan dilakukan sendiri.

Berkongsi pengalaman di sosial media TikTok, Azhari_on_the_bike, walaupun bebas menentukan jadual dan destinasi, Azhari mengakui terdapat kekurangan terutama ketika berdepan kecemasan atau jatuh sakit.

Baginya, perjalanan jauh dengan motosikal juga boleh menjadi sangat sunyi. Justeru, dia mengisi masa dengan berzikir, membaca ayat-ayat al-Quran dan melakukan panggilan video bersama keluarga pada waktu malam.

Demi keselamatan, Azhari mengelakkan diri keluar pada waktu malam selepas dinasihatkan sendiri oleh penduduk tempatan.

Kembara yang menelan kos sekitar RM100,000 itu merangkumi penghantaran motosikal, tiket penerbangan, penginapan, makanan, minyak dan pelbagai perbelanjaan lain.

Namun bagi Azhari, nilai sebenar perjalanan itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Baginya, pengembaraan solo mengajar seseorang mengenali had kemampuan diri, belajar membuat keputusan secara berdikari, menghargai setiap nikmat yang diberikan Allah serta memperkukuhkan keyakinan bahawa sesuatu yang kelihatan mustahil sebenarnya mampu dicapai dengan usaha dan tawakal.

Antara lokasi paling meninggalkan kesan mendalam ialah Taman Negara Torres del Paine di Chile yang menawarkan pemandangan gunung-ganang, tasik biru dan glasier memukau.

Keindahan alam di kawasan itu menjadi ganjaran paling berharga selepas menempuh ribuan kilometer perjalanan yang penuh cabaran.

“Walaupun ekspedisi di Amerika Selatan telah berakhir, semangat pengembaraan saya masih belum menemui noktah. Malah saya sudah merancang kembara seterusnya dengan menggunakan motosikal yang lebih ringan bagi memudahkan pergerakan di laluan mencabar.

“Bagi saya, setiap perjalanan bukan sekadar menawan destinasi baharu, tetapi turut jadi medan untuk membina keberanian, mengukuhkan keimanan dan membuktikan bahawa dunia ini sentiasa terbuka untuk diterokai oleh mereka yang berani melangkah,” tuturnya mengakhiri bicara.

Read Entire Article
Pertanian | | | |