Lima hari menelusuri pesona Sapa dan Hanoi

6 hours ago 5

VIETNAM sememangnya antara destinasi yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Daripada hiruk-pikuk bandar yang sarat dengan sejarah hinggalah panorama pergunungan yang memukau.

Bagi mereka yang ingin menikmati kedua-dua pengalaman dalam satu perjalanan, Hanoi dan Sapa menawarkan kombinasi yang cukup sempurna.

Pengalaman penulis selama lima hari empat malam baru-baru ini membawa perjalanan daripada kesibukan ibu kota Vietnam ke kesejukan tanah tinggi Sapa sebelum kembali semula ke Hanoi.

Perjalanan bermula seawal pukul 4.30 pagi apabila bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengejar penerbangan Malaysia Airlines MH752 pada 9.40 pagi.

Selepas sarapan dan menunggu di ruang santai lapangan terbang, penerbangan penulis menuju ke Vietnam mengambil masa beberapa jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Namun, Hanoi bukan destinasi pertama diterokai. Sebaik tiba, perjalanan saya diteruskan menaiki bas pada pukul 2 petang menuju Sapa, kira-kira lima jam perjalanan.

Perjalanan darat ke Sapa itu memberikan pengalaman berbeza apabila pemandangan bandar perlahan-lahan bertukar kepada kawasan desa dan pergunungan.

Sekitar pukul 7 malam, penulis tiba di Sapa yang terletak di kawasan pergunungan utara Vietnam. Selepas daftar masuk di Fansipan View Hotel, malam pertama dihabiskan dengan berjalan santai di sekitar pekan sambil menikmati makan malam.

Suasana Sapa yang dingin dan tenang selepas perjalanan panjang dari Kuala Lumpur menjadi permulaan yang cukup menyenangkan.

Keesokan harinya, Sapa benar-benar memperlihatkan keistimewaannya. Selepas sarapan, perjalanan saya diteruskan ke Cat Cat Village, sebuah perkampungan tradisional yang terkenal dengan kehidupan masyarakat tempatan, rumah tradisional dan panorama sawah serta lembah yang menghijau.

Dengan berjalan kaki sekitar dua kilometer dari pekan Sapa ke kawasan ini memberikan saya peluang untuk menikmati suasana pergunungan dengan lebih dekat. Setiap sudut seakan-akan menawarkan latar fotografi yang menarik.

Selepas makan tengah hari, masa saya dihabiskan meneroka pusat bandar Sapa termasuk Sapa Church dan pasar tempatan.

Penulis menjejaki Fansipan yang dikenali sebagai ‘Top of Indochina’ atau ‘Roof of Indochina’ iaitu puncak gunung tertinggi di Indochina yang terletak dekat Sapa.

Suasana pekan yang dikelilingi gunung menjadikan Sapa begitu berbeza berbanding bandar-bandar besar lain.

Petang pula sesuai dihabiskan dengan secawan kopi sambil menikmati pemandangan matahari terbenam dari lokasi seperti Fansipan Terrace Café atau The Haven Camp Site.

Dalam cuaca yang nyaman, secawan kopi panas menjadi teman terbaik sebelum meneruskan makan malam dan berehat.

Hari ketiga menjadi antara kemuncak perjalanan apabila menuju ke Fansipan, yang dikenali sebagai ‘Roof of Indochina’.

Perjalanan bermula dari kawasan Sun World Fansipan Plaza sebelum menaiki sistem kereta kabel menuju ke kawasan puncak. Perjalanan ke atas memberikan pemandangan luar biasa banjaran Hoang Lien Son, hutan dan lembah yang terbentang luas.

Setibanya di kawasan Fansipan, suasana berkabus dan udara sejuk menambahkan lagi pengalaman berada di lokasi yang tinggi dari aras laut.

Selepas turun dari Fansipan, masa digunakan untuk berehat dan membersihkan diri di Sapa Harmony Homestay sebelum keluar semula menikmati makan malam dan suasana malam di pekan Sapa. Namun, perjalanan belum berakhir.

Sekitar pukul 11.30 malam, ‘bas tidur’ atau sleeper bus membawa perjalanan kembali ke Hanoi dan tiba kira-kira pukul 6 pagi keesokan harinya.

Hari keempat menjadi masa untuk meneroka Hanoi dengan lebih dekat. Selepas meletakkan beg di hotel, perjalanan bermula dengan berjalan kaki di sekitar Hoan Kiem Lake ketika matahari mula terbit.

Tasik yang menjadi antara mercu tanda terkenal Hanoi ini memberikan suasana cukup damai pada awal pagi. Sarapan pula tidak lengkap tanpa mencuba hidangan ikonik Vietnam seperti pho.

Eksplorasi diteruskan ke Temple of Literature dan St. Joseph Cathedral sebelum menikmati makan tengah hari di Bun Cha Huong Lien, restoran yang popular selepas pernah dikunjungi bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Petangnya pula dihabiskan di Train Street, lokasi unik yang memperlihatkan landasan kereta api melalui kawasan kejiranan yang dipenuhi kafe. Sambil menikmati kopi, pengunjung dapat merasai sisi Hanoi yang lebih santai dan unik.

Antara pengalaman yang tidak harus dilepaskan ketika berada di Hanoi ialah budaya kopinya. Selain kopi Vietnam tradisional, coconut coffee dan egg coffee menjadi dua minuman yang wajar dicuba.

Kopi yang pekat, dipadankan dengan kelapa atau krim telur yang lembut, menawarkan rasa yang cukup berbeza dan menjadi sebahagian daripada identiti kulinari Hanoi.

Menjelang petang, panorama bandar dinikmati dari kafe atas bumbung sebelum malam diteruskan dengan makan malam dan jika berkesempatan, menyaksikan persembahan Water Puppet Show.

Hari terakhir pula lebih ringkas dengan sarapan, daftar keluar hotel untuk ke lapangan terbang. Penerbangan MH753 pada pukul 1 petang membawa pulang perjalanan ke Kuala Lumpur.

Lima hari di Hanoi dan Sapa akhirnya menjadi sebuah perjalanan yang bukan sahaja mengumpulkan lokasi menarik, tetapi turut memperlihatkan dua wajah Vietnam yang berbeza.

Sapa menawarkan ketenangan gunung, udara sejuk dan kehidupan masyarakat tempatan, manakala Hanoi menghadirkan sejarah, budaya, makanan serta kehidupan bandar yang dinamik.
Gabungan kedua-duanya menjadikan Vietnam sebuah destinasi yang sesuai untuk mereka yang mahu pulang dengan lebih daripada sekadar gambar, sebaliknya membawa bersama pengalaman yang sukar dilupakan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |