ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila berjaya mengikat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea 3-3 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Dalam aksi penuh dramatik itu, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ayam tambatan mereka, Aiman Arif pada minit ke-14 selepas menerima umpanan Jonathan Silva sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Chelsea.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Chelsea mula meningkatkan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi gerakan Estevao Willian yang berjaya menembusi pertahanan Harimau Selatan sebelum melakukan hantaran kepada Nicolas Jackson.
Bagaimanapun, gerakan itu gagal disudahkan apabila hantaran Jackson kepada Dario Essugo tidak menghasilkan jaringan.
JDT pula hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-32, namun rembatan Oscar Arribas tersasar di sebelah kiri gawang Chelsea.
Ketika permainan menuju penghujung babak pertama, Chelsea akhirnya memperoleh sepakan penalti selepas Kevin Medina menjatuhkan Liam Delap dalam kawasan penalti pada minit ke-41.
Delap tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Ahmad Syihan dan mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus mempamerkan aksi agresif dengan masing-masing meningkatkan tekanan untuk mencari gol pendahulu.
Chelsea sekali lagi memperoleh sepakan penalti pada minit ke-59 selepas bola terkena pemain pertahanan JDT dalam kawasan penalti.
Delap sekali lagi muncul wira Chelsea apabila tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan pelawat di hadapan 2-1.
Namun, JDT enggan mengalah dan hanya lima minit kemudian berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Oscar pada minit ke-64.
Aksi semakin rancak apabila JDT terus mengasak kubu Chelsea dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Bergson Da Silva yang dimasukkan bagi menggantikan Eddy Israfilov meledakkan gol ketiga pada minit ke-85 untuk memberikan JDT kelebihan 3-2.
Ketika penyokong tuan rumah masih meraikan jaringan tersebut, Chelsea bangkit melakukan serangan balas sebelum Antonio Glauder tertanduk bola ke gawang sendiri, sekali gus menghadiahkan gol penyamaan buat Chelsea.
Jaringan tersebut memastikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan yang berlangsung sengit dan menghiburkan di hadapan ribuan penyokong di Stadium Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
6
















































