PN mohon Sidang Khas RCI TH ditangguh, tunggu Anwar pulih

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memohon supaya Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan esok bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan itu dibuat susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sehubungan itu, PN mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada esok bagi membentangkan laporan RCI berkaitan TH ditangguhkan ke suatu tarikh yang lebih sesuai susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PN telah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi memohon penangguhan sidang berkenaan.

Menurutnya, surat permohonan itu telah diterima secara rasmi oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, isu TH merupakan perkara penting yang melibatkan kepentingan awam dan PN berpandangan pembentangan laporan berkenaan wajar dilakukan sendiri oleh Anwar.

Katanya, Anwar sebelum ini turut membangkitkan perkara berkaitan laporan berkenaan kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Justeru, kehadiran Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini adalah amat signifikan.

“Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri sendiri sebelum ini,” katanya.

Dalam masa yang sama PN turut mendoakan supaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dikurniakan kesembuhan segera serta dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan TH esok akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Perkara itu disahkan Pusat Media Parlimen menerusi makluman kepada pengamal media, petang ini.

“Sidang Khas esok akan berlangsung seperti yang telah dijadualkan. Terima kasih dan selamat bertugas,” menurut makluman tersebut.

Pengesahan itu dibuat ketika Anwar hari ini dilaporkan selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia paraumbilikal.

Anwar kini menjalani rawatan fisioterapi dan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |