Nenek tiri dituduh bunuh cucu 16 bulan esok

2 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Seorang nenek muda akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi, di sini esok atas pertuduhan membunuh cucu tirinya yang berusia satu tahun empat bulan di Taman Sri Saujana, di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pertuduhan terhadap suspek dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, semalam.

Beliau berkata, suspek utama iaitu nenek tiri mangsa dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

“Dua lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu datuk dan ibu kepada mangsa dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab. Rahaman berkata, pihak polis menerima laporan daripada nenek tiri mangsa kira-kira pukul 9.30 pagi pada 31 Julai lalu yang mendakwa kanak-kanak itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur.

Katanya, petugas kesihatan yang dipanggil ke lokasi kejadian telah memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi hari yang sama.

“Siasatan pada peringkat awal dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

“Walau bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang pada 2 Ogos mendapati punca kematian mangsa disebabkan trauma objek tumpul pada abdomen dan dada (blunt force trauma to the abdomen and chest),” katanya.

Beliau menambah, pemeriksaan turut menemukan kesan luka dan lebam pada badan mangsa yang dipercayai akibat penganiayaan fizikal, sekali gus membawa kepada klasifikasi semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ekoran penemuan berkenaan, katanya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan nenek tiri, datuk dan ibu mangsa yang berumur antara 18 hingga 47 tahun pada 2 Ogos lalu.

“Hasil siasatan awal, ibu kepada bayi itu meninggalkan anaknya di bawah jagaan bapa serta ibu tirinya setelah wanita tersebut sambung belajar di kolej vokasional.

“Kita percaya nenek tiri itu mencederakan mangsa menggunakan tangan dan kaki dengan cara memukul dan memijaknya, tiada sebarang objek dirampas oleh polis,” ujarnya.

Tambahnya, semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sejarah jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing juga didapati negatif.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh mengganggu proses perundangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes jenayah boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 serta Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999. – KOSMO ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |