PETALING JAYA – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob terbuka menerima pandangan daripada netizen memberi sebarang cadangan untuk majlis perkahwinannya dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Fazley, dia dan Vida menerima pelbagai cadangan dan cetusan idea daripada netizen berkaitan majlis perkahwinan sejak berkongsi secara terbuka mengenai hubungan cinta dalam media sosial.
“Tempoh hari, secara tidak sengaja ketika bersiaran langsung, ramai netizen mencadangkan tarikh dan tempat (untuk majlis perkahwinan).
“Jadi, Vida secara berseloroh berkata, mengapa tidak netizen jadi perancang perkahwinan?
“Cadangkanlah kepada kami ya netizen, kalian dilantik menjadi perancang perkahwinan,” katanya dalam sebuah video.
Ujarnya, perkara tersebut adalah kerana merasakan sebahagian kehidupan kekasihnya itu adalah milik netizen dan setiap hal dilakukan perlu melibatkan orang ramai.
“Saya adalah selebriti kepunyaan masyarakat tetapi DSV milik netizen. Beberapa kali diberi amaran oleh netizen agar menjaga Vida baik-baik, jangan lukakan hati dan pastikan semuanya terjadi (nikah).
“Kalau benda ini bukan konten, kami tumbuk Fazley Yaakob, sampai macam itu,” katanya lagi.
“Namun saya tahu bahawa Vida adalah kesayangan masyarakat netizen secara umumnya, beliau adalah milik masyarakat, tapi hatinya milik saya,” katanya lagi.
Sementara Vida pula tidak menolak hubungan cinta yang terjalin dengan Fazley ketika ini juga adalah berkat doa orang ramai kepadanya.
“Saya rasa netizen punya doa makbul sebab lebih daripada berjuta orang yang mendoakan.
“Tidak lama dan kami akan bersama juga dalam apa cara sekali pun. Kalian adalah perancang dan buatlah macam mana, jadikan realiti!” ujarnya.
Sebelum ini, Fazley dan Vida didakwa sedang bercinta susulan tular beberapa video memaparkan keakraban mereka selepas menyertai program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Terbuka berkongsi, Fazley kemudian meluahkan perasaan sayang kepada Vida pada hari bersejarah dalam kalendar Islam baru-baru ini.
Kini, kedua-duanya tidak lagi berahsia malah secara terbuka berkongsi hubungan mesra kepada umum dalam media sosial dan meraih pelbagai sokongan daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5
















































