KP Jupem mengaku tidak salah guna kedudukan suapan RM136,115

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Datuk Hazri Hassan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi suapan berjumlah RM136,115.

Bagaimanapun Hazri, 57, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya tidak mengaku bersalah,” kata Hazri.
Mengikut pertuduhan pertama, Hazri didakwa sebagai Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT), telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi LJT untuk suapan iaitu dana LJT berjumlah RM30,201.16.

Ia yang mana tertuduh mengambil bahagian di dalam Mesyuarat Lembaga LJT yang telah membincangkan tentang penyertaannya di dalam “14th Session of the United Nations Committee of Experts on Global Geospatial Information Management (UN-GGIM)” di New York, Amerika Syarikat pada 4 hingga 9 Ogos 2024.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dii Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati di sini pada 3 Ogos 2024.

Pertuduhan kedua, tertuduh sebagai jawatan sama telah menggunakan kedudukannya bagi suapan berjumlah RM105,914 iaitu dengan mengambil bahagian dalam satu lagi Mesyuarat Lembaga LJT.

Mesyuarat itu ialah “Mesyuarat LJT dan Jupem bersama Prof. Dr. Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse –Vice President and Director Advisory & Innovation Woolpert dan 5th Plenary Meeting of the HighLevel Group of the Integrated Geospatial Information Framework and the Meeting of the Bereauand its Expanded Bureau of the Committee of Experts” di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi pada 29 Januari hingga 4 Februari 2025.

Bagi pertuduhan kedua itu, kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini pada 31 Disember 2024.

Justeru untuk kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan jumlah jaminan itu dibayar sebanyak dua kali yang mana RM50,000 dibayar pada hari ini manakala RM20,000 pada Jumaat.

Tarikh 4 Jun ini ditetapkan sebutan semula kes.

Pada 17 April lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ketua pengarah dan seorang pegawai kanan Jupem yang terbabit dalam siasatan penyelewengan dana.

Terdahulu pada 11 Februari lalu, SPRM menahan dua pegawai kanan sebuah jabatan agensi kerajaan termasuk seorang ketua pengarah, kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana berkenaan untuk kepentingan peribadi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |