Dua tentera didenda RM2,200 cederakan rakan setugas

3 hours ago 3

SUNGAI PETANI – Dua anggota tentera berpangkat koperal masing-masing didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan dua rakan setugas mereka, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohamad Izzuddin Ahmad, 27, dan Muhamad Amir Irfan Mohd Ridzuan, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Di hadapan Muhammad Syaiful, kedua-dua mereka didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 25 tahun di bilik penginapan bujang Batalion 165 Risik, Kem Lapangan Terbang Sungai Layar di sini antara pukul 10.05 malam hingga 11.50 malam, 5 Mac lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM700 kepada setiap seorang dan jika mereka gagal bayar boleh dipenjara selama 14 hari.

Di hadapan Mohamad Azlan pula, kedua-dua koperal itu dituduh mencederakan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di lokasi serta pada masa dan tarikh yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 ke atas setiap mereka dan jika gagal membayar denda tersebut mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan.

Pertuduhan terhadap kedua-dua anggota tentera itu dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, media melaporkan dua anggota tentera berpangkat koperal dari sebuah kem, dekat sini ditahan reman bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan terhadap dua anggota lain.

Menurut laporan awal mangsa memaklumkan, selain ditumbuk di bahagian muka, dia dan seorang rakannya turut ditendang dan dipukul menggunakan rotan serta tali oleh dua koperal itu di bahagian punggung dan tapak kaki menggunakan rotan dan tali.

Malah dua mangsa yang masing-masing berumur 25 tahun itu turut diarah melakukan ‘fizikal training’ di koridor kediaman itu sehingga ke awal pagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |