12 pemain, 3 pegawai Thailand dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib ISTAF

6 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tidak mengamal sikap berkompromi apabila mengheret 12 pemain serta tiga pegawai Thailand ke Jawatankuasa Tatatertib gara-gara meninggalkan perlawanan pada saingan Piala Dunia 2026.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif ISTAF yang berlangsung 30 Mei lalu selepas meneliti laporan pegawai perlawanan serta pegawai teknikal berhubung insiden tersebut pada aksi final regu berpasukan menentang Malaysia.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan siasatan yang dibuat adalah secara menyeluruh dan adil bagi menepis pelbagai andaian terhadap mana-mana pihak.

“Tujuan rujukan ini adalah untuk membolehkan pemeriksaan yang komprehensif, adil dan bebas terhadap semua fakta, keadaan serta tanggungjawab yang berkaitan dengan insiden berkenaan.

“Rujukan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai satu keputusan bahawa telah berlakunya salah laku atau liabiliti terhadap mana-mana atlet ataupun pegawai,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau juga menjelaskan, Jawatankuasa Tatatertib akan menilai semua perkara, termasuk bukti, hujah dan representasi sebelum menentukan sama ada berlaku pelanggaran peraturan, perlembagaan atau kod etika persekutuan.

Sementara itu, Halim turut menegaskan, semua individu yang terlibat akan diberikan peluang untuk mengemukakan penjelasan serta bukti masing-masing mengikut prinsip keadilan dan kesaksamaan prosedur.

“Selaras dengan prinsip keadilan asasi dan kesaksamaan prodesur, setiap individu terlibat akan diberikan peluang sepenuhnya bagi mengemukakan penjelasan, bukti sokongan serta bahan lain.

“ISTAF juga dengan penuh hormat menggesa semua pihak untuk membiarkan proses tatatertib ini berjalan dengan bebas tanpa sebarang spekulasi sepatutnya. Sebarang kesimpulan dibuat berdasarkan bukti dan penemuan yang dipertimbangkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |