PETALING JAYA – Yayasan Pahang (YP) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Anti-Rasuah pada UNGC Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026, sekali gus membuktikan komitmen yayasan tersebut membudayakan kecemerlangan dan integriti melalui pencapaian anugerah berprestij di bawah naungan United Nations Global Compact.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan yayasan tersebut dalam memperkukuh nilai integriti, ketelusan serta amalan tadbir urus korporat yang berlandaskan piawaian antarabangsa.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dianugerahkan oleh United Nations Global Compact.
“Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya dalam kenyataan di sini.

Indera Mahmud menzahirkan rasa bangga apabila Yayasan Pahang dipilih sebagai pemenang dalam kategori Anti-Rasuah, selari dengan prinsip kelestarian dan tadbir urus yang berakauntabiliti tinggi.
Majlis penyampaian anugerah anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) itu telah berlangsung di ibu negara dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman
Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Yayasan Pahang memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001, selepas disenarai pendek bersama Thumbprints United Sdn. Bhd., sekali gus mengungguli kategori tersebut di peringkat akhir.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed bersama Encik Faroze Nadar, Pengarah Eksekutif, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB).
Indera Mahmud berharap, kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin untuk Yayasan Pahang memperkukuh budaya kerja berintegriti, memperkasa sistem tadbir urus yang amanah serta terus berbakti demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian masa depan Negeri Pahang. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4

















































