PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn. Bhd. berkuat kuasa 31 Mac lalu susulan pelbagai pelanggaran serius melibatkan pengurusan pakej umrah.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas itu diambil selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] selepas syarikat berkenaan didapati gagal memenuhi obligasi di bawah lesen.
Menurutnya, antara kegagalan syarikat termasuk tidak membuat tempahan awal bagi penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti dijanjikan dalam pakej, selain tidak mematuhi jadual perjalanan pelancongan.
“Lebih serius, syarikat turut gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia melibatkan 36 jemaah umrah sehingga menyebabkan mereka terkandas di Madinah, Arab Saudi,” katanya.
Tambah kenyataan itu, tindakan syarikat berkenaan jelas melanggar syarat lesen di bawah perenggan 8(1)(a) dan (b) Akta 482, selain menjalankan perniagaan dengan cara yang memudaratkan kepentingan orang awam serta industri pelancongan.
Situasi tersebut turut menimbulkan risiko keselamatan, tekanan kewangan dan gangguan terhadap perjalanan ibadah jemaah, sekali gus menjejaskan keyakinan awam terhadap industri pelancongan negara.
Sehubungan itu, MOTAC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang oleh pengusaha pelancongan berlesen demi melindungi kebajikan rakyat serta integriti industri.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda sebelum ini dilaporkan hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada semalam belum mendapat tiket tersebut. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3















![[VIDEO] 2 kenderaan berlanggar, trafik perlahan di Jalan Tun Razak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/JALAN-TUN-RAZAK.jpeg)






























