Perak larang ‘compressed hike’ di 7 laluan berisiko

4 hours ago 3

IPOH – Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) melarang pelaksanaan aktiviti pendakian secara ‘dayhike’ atau ‘compressed hike’ di beberapa laluan pendakian berisiko di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

JPNP dalam satu notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa dan kesesuaian bentuk muka bumi di lapangan bagi memastikan keselamatan pendaki.

“Antara laluan yang terlibat ialah Gunung Korga menerusi laluan Gunung Korbu-Gunung Gayong yang ditetapkan tempoh minimum pendakian selama tiga hari, selain Trans Spencer Chapman melalui laluan Gunung Bar Gading-Gunung Kak-Gunung Batu Putih dengan tempoh minimum lima hari.

“Turut tersenarai ialah Trans Jerging (Gunung Suku-Gunung Irau), Trans Batu (Gunung Batu Putih-Gunung Batu Bujang-Gunung Kak-Gunung Batu Dara) dan Trans Slim (Gunung Liang East/West-Gunung Chondong Geliting-Gunung Tumang Batak) yang masing-masing memerlukan tempoh minimum tiga hari pendakian,” katanya.

Menurut JPNP, laluan Trans Titiwangsa V1 yang merangkumi Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar ditetapkan tempoh minimum pendakian selama lima hari.

Katanya, laluan Trans Beratih yang melibatkan Bukit Berapit, Gunung Rayu dan Gunung Batu Putih pula memerlukan sekurang-kurangnya empat hari untuk diselesaikan.

“Sebarang perubahan atau pindaan terhadap senarai laluan berkenaan akan dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian jabatan. Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan ID Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terlibat dibekukan serta disenarai hitam sebagai MGP Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta bagi tempoh enam bulan atau lebih mengikut kesesuaian,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai larangan itu boleh melayari portal rasmi JPNK di
https://www.perakforestry.gov.my.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon mencadangkan kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan khas pendakian gunung, termasuk menetapkan tempoh minimum pendakian mengikut ketinggian dan tahap kesukaran laluan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengawal trend pendaki yang terlalu mengejar aktiviti compressed hike atau pendakian singkat sehingga boleh menjejaskan aspek keselamatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |