‘Tanya Emma sendiri’ – Chacha Maembong kunci mulut

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Tidak tahu menahu, pelakon Chacha Maembong memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi kakaknya, Emma Maembong susulan dakwaan hubungan aktres itu dengan DJ Kidd kembali terjalin.

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Rohani Ismail, 30, mengakui tidak mempunyai maklumat lanjut kerana kesibukan kerja menyebabkan mereka jarang bertemu sejak kebelakangan ini.

“Saya tidak tahu mengenai dakwaan itu kerana belum berkesempatan berjumpa dengan Emma, masing-masing sibuk.

“Saya rasa lebih baik tanya tuan badan sendiri, sebab dari awal sampai sekarang semua orang tanya saya mengenai Emma.

“Jadi saya rasa sudah tiba masa untuk tanya dia sendiri sebab saya bukan 24 jam bersama Emma,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bintang drama Dendam Seorang Mentua itu, hubungan mereka sebagai adik-beradik tetap baik, namun perbualan ketika bertemu lebih tertumpu kepada hal keluarga berbanding gosip sensasi.

Bagaimanapun, sebagai adik, dia menegaskan sokongan terhadap kakaknya tidak pernah berbelah bahagi walau apa jua situasi dilalui.

“Kami masing-masing sibuk, bukan tidak berhubung langsung. Ada juga berhubung, tetapi kalau jumpa sekalipun kami hanya berbual tentang keluarga atau gosip lain selain cerita dia.

“Sebagai adik, tentulah saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kakak saya.

“Saya sentiasa sokong kakak saya walaupun hidup ada turun naik. Apa pun, dia tetap kakak saya dan saya akan terus menyokong walau apa keadaan sekalipun,” ujarnya pada Watch Party siri iQiyi berjudul Griya, di sini, hari ini.

Terdahulu, foto Emma bersama DJ Kidd kembali tular dalam media sosial selepas dikongsikan seorang wanita, sekali gus mencetuskan spekulasi hubungan mereka kembali berputik.

Malah, kapsyen dimuat naik individu tersebut turut menggelarkan mereka sebagai pasangan kekasih, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Untuk rekod, pada April lalu DJ Kidd memaklumkan hubungan cintanya dengan Emma sudah berakhir, sekali gus menambah tanda tanya terhadap status sebenar mereka ketika ini. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |