Krisis Negeri Sembilan gugat imej institusi diraja – PM

3 hours ago 5

PUCHONG – Krisis melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan disifatkan sebagai sesuatu yang menggusarkan dan berpotensi memberi implikasi besar terhadap kestabilan serta keamanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang usaha menggugurkan atau memansuhkan kedudukan seseorang raja perlu melalui saluran undang-undang dan perlembagaan yang sah.

Katanya, institusi raja mempunyai peraturan, kaedah dan kemuliaan tersendiri yang perlu dipelihara oleh semua pihak.

“Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi raja ini mesti ada peraturannya, kaedahnya dan cara kemuliaannya.

“Menggugurkan atau memansuhkan mana-mana raja akan memberikan implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Meranti, Puchong di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun setiap pihak mempunyai hak untuk membawa perkara tersebut melalui saluran yang dibenarkan undang-undang, hujah yang dikemukakan perlu kukuh.

Tambahnya, Anwar turut menyifatkan tindakan membuat pengisytiharan berkaitan perkara itu di sebuah hotel sebagai sesuatu yang menjejaskan imej institusi diraja.

“Kita telah beri nasihat, tetapi diteruskan pengisytiharan di sebuah hotel yang saya fikir menjejaskan juga imej dan identiti raja di mata rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan institusi raja walaupun tidak terlibat secara langsung dalam isu berkenaan.

Menurutnya, kerajaan ketika ini masih mengiktiraf kedudukan Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz.

“Apa-apa pandangan lain hendaklah dibuat mengikut jalur yang sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, media mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, hari ini dan diisytiharkan oleh Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat menerusi satu istiadat ringkas. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |