KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan kemaraan cemerlang apabila muncul wakil tunggal Malaysia yang berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Gandingan ranking kelapan dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk menyingkirkan pasangan India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-10 dalam tempoh 32 minit.
Turun dengan reputasi lebih tinggi, Sze Fei-Izzuddin mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila menguasai permainan sejak awal untuk mencatat kemenangan pertama ke atas pasangan ranking ke-30 dunia itu.
Kejayaan tersebut menyaksikan mereka kini hanya selangkah lagi untuk melakar penampilan ke final kejohanan bertaraf Super 1000 berkenaan.
Menanti mereka di separuh akhir ialah pemenang pertemuan antara juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.
Sementara itu, cabaran beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pula berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas tipis kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Beregu ranking ke-12 dunia itu memberikan tentangan sengit sebelum akur 21-15, 18-21, 20-22 dalam pertarungan selama satu jam 10 minit yang menyaksikan kedua-dua pasangan saling berbalas serangan sehingga mata terakhir.
Mengulas kekalahan tersebut, Shevon mengakui mereka sudah menjangkakan taktik lawan yang gemar mengganggu rentak permainan, namun situasi di penghujung perlawanan tetap sukar untuk dikawal.
“Kami sudah bersedia untuk itu. Jadi pada kedudukan 20-20, kami cukup bersedia untuk kembali bangkit, tetapi malangnya keadaan berlaku terlalu pantas dan kemenangan berpihak kepada lawan,” katanya, merujuk kepada insiden mereka ditegur pengadil kerana didakwa melengah-lengahkan perlawanan. KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2















![[VIDEO] MB Negeri Sembilan umum bubar DUN berkuat kuasa 5 Jun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-04-at-23.44.18.jpeg)





























