Allahyarham Fazita satu-satunya jenazah disolatkan di Masjid Nabawi

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Dalam suasana penuh hening di Masjid Nabawi pada bulan Ramadan, Allahyarham Fazita Khalid menjadi satu-satunya jenazah yang disolatkan pada waktu tersebut, diiringi ribuan umat Islam yang hadir menunaikan ibadah di masjid suci berkenaan.

Detik luar biasa itu menjadi antara momen paling menyentuh hati apabila arwah, yang juga jemaah umrah bersama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., menghembuskan nafas terakhir di bumi Madinah selepas hampir 20 hari bertarung nyawa akibat komplikasi kesihatan.

Menerusi hantaran di Facebook Andalusia, pemergian Allahyarham pada bulan Ramadan disifatkan sebagai satu pengakhiran yang dicemburui, apatah lagi jenazahnya disolatkan di Masjid Nabawi sebelum dikebumikan di Jannatul Baqi yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.

“Selepas bertarung nyawa hampir 20 hari di dalam bilik wad hospital, akhirnya Hajah Fazita dipilih oleh Allah untuk bersemadi selamanya disamping Masjid Nabawi berdekatan Rasulullah iaitu di perkuburan Baqi Al Gharqad.

“Kemuliaan meninggal dunia di bumi Madinah ketika bulan Ramadan dan disolat oleh beribu umat islam di Masjid Nabawi, hanya jenazah Allahyarham satu-satunya disolatkan ketika itu. Moga pengakhiran kita semua seperti beliau,” tulisnya.

Andalusia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah serta mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Pemergian Allahyarham di bumi penuh keberkatan itu mengundang rasa sebak dan doa daripada orang ramai yang mengikuti perkongsian kisahnya.

Sebelum ini kakak Allahyarham, Rosita Khalid memaklumkan Fazita menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari kira-kira pukul 3.45 petang waktu tempatan.

Allahyarham dijadualkan pulang ke tanah air pada semalam (2 Februari).

Bagaimanapun, pada hari kepulangan di Lapangan Terbang Madinah, Fazita dilaporkan mengalami sesak nafas teruk ketika proses daftar masuk penerbangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |