PETALING JAYA – Amalan bergantung kepada kopi dan minuman berkafein untuk meneruskan rutin kerja harian menyebabkan ramai golongan profesional tidak menyedari tubuh mereka sebenarnya sedang menunjukkan tanda awal diabetes dan masalah kesihatan metabolik.
Peruding kesihatan dan jurulati kecergasan, Murad Zaidi berkata, ramai individu terutama dalam kalangan profesional bandar, pemilik perniagaan dan mereka yang bekerja dalam persekitaran bertekanan tinggi memilih kafein bagi mengatasi keletihan tanpa memahami punca sebenar keadaan tersebut.
Menurutnya, ramai menganggap masalah mengantuk, kurang fokus dan kekurangan tenaga boleh diselesaikan dengan secawan kopi, sedangkan simptom berkenaan mungkin berkait dengan paras gula darah yang tidak stabil, rintangan insulin dan gangguan metabolik lain.
“Ramai lelaki berjaya dalam lingkungan lewat 30-an, 40-an dan 50-an bergantung kepada kafein, waktu makan tidak teratur, tidur tidak cukup dan tekanan kronik.
“Dari luar mereka nampak berjaya, tetapi dari dalam ramai sebenarnya sudah mengalami kemerosotan kesihatan metabolik,” katanya dalam satu kenyataan.
Murad berkata, diabetes bukan penyakit yang muncul secara tiba-tiba apabila diagnosis dibuat, sebaliknya keadaan tersebut biasanya berkembang selama bertahun-tahun sebelum dikesan.
Katanya, sebelum seseorang disahkan menghidap diabetes, tubuh lazimnya sudah memberikan pelbagai isyarat amaran seperti pertambahan lemak di bahagian perut, cepat letih selepas makan, sukar mengawal selera makan, kurang fokus, tidur tidak berkualiti dan pemulihan badan yang semakin perlahan.
“Orang menyangka diabetes bermula apabila diagnosis dibuat. Sebenarnya tidak. Diagnosis itu selalunya hanyalah saat masalah itu akhirnya dikesan,” ujarnya.
Beliau berkata, tanda-tanda tersebut sering dipandang ringan kerana dianggap kesan normal akibat kesibukan kerja atau peningkatan usia.-KOSMO! ONLINE

2 hours ago
5















































