PETALING JAYA – Pemergian Allahyarham Normah Abdullah bukan sahaja mengundang rasa kehilangan dalam kalangan keluarga dan kenalan, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat yang mengenalinya.
Bekas Pensyarah Kanan Bidang Sains Ukur dan Geomatik, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun lalu di Hospital Sungai Buloh pada usia 72 tahun.
Allahyarham turut mencipta sejarah sebagai Jurukur Wanita Pertama di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), sekali gus menjadi antara wanita terawal menceburi bidang yang ketika itu didominasi golongan lelaki.
Di media sosial, ramai kenalan berkongsi kisah mengenai keperibadian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang wanita sederhana, merendah diri dan sentiasa mengutamakan kebajikan orang lain tanpa mengharapkan balasan.
Seorang kenalan, Azis Badli berkata, Allahyarhamah merupakan individu yang sangat istiqamah menghadiri solat berjemaah di surau sehingga menjadikan rumah ibadah itu seperti rumah keduanya.
“Beliau memang baik, lima waktu di surau. Paling awal datang dan paling lewat balik. Antara amalan yang baru diketahui selepas pemergian arwah ialah beliau banyak berinfak kepada masjid, sekolah tahfiz dan rumah anak yatim secara istiqamah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi individu yang menganggap Allahyarham sebagai ibu angkat turut mendedahkan bahawa arwah pernah menanggung kos pengajiannya di Sudan sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Telah meninggal ibu angkat saya. Mohon doa untuk beliau. Banyak jasa beliau, taha saya masa belajar di Sudan dahulu,” katanya.
Ucapan takziah turut dizahirkan oleh warga Fakulti Alam Bina UiTM dan JUPEM yang menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar kepada dunia akademik dan profesion ukur.
Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam selepas solat jenazah di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu, sebelum ini telah berikrar sebagai penderma organ dan hasrat tersebut ditunaikan oleh ahli keluarganya pada keesokan harinya.
Menerusi satu hantaran di media sosial Hospital Sungai Buloh, pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan jasa sebagai seorang pendidik yang mendidik anak bangsa sepanjang hayatnya, malah terus menyumbang kepada insan lain melalui pendermaan organ dan tisu.
“Di masa hidupnya mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa.
“Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” tulis hantaran itu.- KOSMO! ONLINE

7 hours ago
6















































