SHAH ALAM – Sebuah pusat data berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion di Cyberjaya dijangka siap pada 2028 sekaligus pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi digital Selangor.
Projek pusat data berkapasiti 65 megawatt (MW) itu akan dibangunkan di atas tapak strategik berkeluasan 5.2 hektar menerusi kerjasama antara Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (SIC), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dan Data Centre Union Sdn. Bhd. (DC Union Berhad (DC Union).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIC, Saharom Mohni berkata, pembangunan itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh penglibatan PKNS dalam sektor teknologi berimpak tinggi yang semakin pesat berkembang.
Menurut beliau, projek berkenaan turut menyokong aspirasi Selangor Smart State melalui penyediaan infrastruktur digital yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan.
“Pusat data ini dijangka dapat menyokong keperluan penyimpanan dan pemprosesan data pelbagai organisasi termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor swasta yang memerlukan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
“Pecah tanah projek akan bermula Ogos ini dengan jangkaan pembangunan siap antara 18 hingga 24 bulan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili SIC menandatangani Perjanjian Usahasama (JVA) dengan Pegawai Eksekutif Data Centre Union Sdn. Bhd, Yeep Teck Ann sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS merangkap Pengerusi SIC, Datuk Mahmud Abbas.
Saharom berkata, pusat data akan dibangunkan melalui syarikat usahasama antara SIC dan DC Union iaitu SIC Quantum Data Centre Sdn. Bhd. (SQDC) serta mengintegrasikan penggunaan tenaga boleh baharu termasuk solar bagi menyokong agenda kelestarian dan mengurangkan jejak karbon operasi.
“Selain itu, bakal dilengkapi teknologi penyejukan rendaman penuh bagi memastikan kecekapan tenaga yang lebih tinggi berbanding pusat data konvensional,” jelasnya.
Sementara itu, Teck Ann berkata, projek itu turut merangkumi penubuhan Sovereign AI Command Centre dan Centre of Excellence bagi memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI), keselamatan data serta inovasi digital negara.
“SQDC turut menyasarkan sekurang-kurangnya 500 jurutera bertauliah NVIDIA dilahirkan setiap tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang AI, pengkomputeran awan dan pusat data
“Kerjasama ini akan memperkukuh pembangunan infrastruktur digital generasi baharu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan AI serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
9















































