Piala Dunia 2026: Haaland hantar Norway ke pusingan 32 terbaik

15 hours ago 7

NEW JERSEY – Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland membuktikan statusnya antara penyerang terbaik dunia apabila muncul wira kemenangan pasukannya selepas meledak dua gol ketika menewaskan Senegal 3-2 pada aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium New York, hari ini.

Norway yang memburu kemenangan kedua kejohanan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi tandukan Kristoffer Ajer hasil sepakan penjuru, namun percubaan itu berjaya ditepis penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Pasukan kendalian Stale Solbakken itu terus mengasak dan hampir mendahului pada minit ke-37 apabila Martin Odegaard berdepan situasi satu lawan satu selepas menerima hantaran cantik Haaland, namun rembatan rendah kapten Norway itu berjaya diselamatkan Mendy.

Senegal akhirnya dihukum menjelang tamat babak pertama apabila kesilapan pertahanan berpengalaman, Kalidou Koulibaly membuka ruang kepada Marcus Holmgren Pedersen untuk meletakkan Norway di depan pada minit ke-44.

Gol tersebut hadir selepas kegagalan benteng Senegal mengeluarkan bola dengan kemas sebelum Pedersen menyambar peluang untuk menewaskan Mendy dan memastikan Norway mendahului 1-0 ketika rehat.

Norway hanya memerlukan tiga minit selepas babak kedua bersambung untuk menggandakan kelebihan menerusi Haaland yang menyudahkan serangan balas pantas hasil gerakan Odegaard bagi menjadikan kedudukan 2-0.

PENYOKONG Norway meraikan kejayaan pasukan mereka mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Senegal 3-2 dalam aksi Kumpulan I di Stadium New York New Jersey, East Rutherford, hari ini.– AFP

Senegal bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Ismaila Sarr pada minit ke-54 untuk menghidupkan semula harapan pasukan Afrika itu memburu kebangkitan.

Namun, kegembiraan Senegal tidak bertahan lama apabila Haaland sekali lagi menghukum kelemahan benteng lawan pada minit ke-59 selepas bijak menyudahkan hantaran David Moller Wolfe.

Ketika perlawanan dilihat memihak sepenuhnya kepada Norway, Senegal kembali menghidupkan harapan menerusi jaringan kedua Sarr pada minit ke-90+3 untuk menjadikan kedudukan 3-2 dan mencetuskan debaran pada penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, masa yang berbaki tidak mencukupi buat wakil Afrika itu untuk mencari gol penyamaan apabila Norway berjaya mempertahankan kelebihan tersebut sehingga akhir perlawanan.

Kemenangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Norway dalam Kumpulan I, malah mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan 32 terbaik dengan satu lagi perlawanan kumpulan masih berbaki.

Haaland pula terus menjadi sandaran utama Norway apabila menambah koleksi jaringannya kepada empat gol dalam kejohanan kali ini. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |