Tan Sri Lim Hock San terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ASEAN 2026

7 hours ago 7

PETALING JAYA – Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Lim Hock San, menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2026, Kepimpinan Perniagaan Berwawasan & Kecemerlangan Komuniti pada majlis ASEAN Outstanding Business Award 2026.

Pengiktirafan itu diberikan kepada tokoh perniagaan terkemuka atas sumbangan dan pencapaian berterusan mereka yang melangkaui kejayaan korporat, termasuk mencipta impak sosial yang bermakna, memupuk kerjasama serantau serta memperkukuh pembangunan komuniti di seluruh rantau ASEAN.

Sebaris dengan tokoh usahawan hartanah yang dihormati di Malaysia, Hock San berjaya mengangkat LBS daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan kepada pemaju hartanah terkemuka yang memiliki portfolio perniagaan yang pelbagai meliputi sektor kediaman, komersial, perindustrian, hospitaliti dan peruncitan.

LBS dalam kenyataan berkata, sepanjang beberapa dekad, kepimpinan Hock San dalam menyumbang kepada pembangunan negara telah menjadi pemangkin kepada penyediaan kediaman berkualiti, pembangunan perbandaran mampan serta peningkatan kesejahteraan hidup ribuan rakyat Malaysia.

“ASEAN Outstanding Business Award mengiktiraf pemimpin cemerlang yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi, menggalakkan kemajuan sosial serta menyumbang kepada kemakmuran bersama di rantau ini,” katanya hari ini.

Hock San menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2026 pada majlis ASEAN Outstanding Business Award 2026 di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Hock San berkata, ia bukan sekadar pencapaian individu, sebaliknya mencerminkan dedikasi dan komitmen bersama rakan sekerja, rakan perniagaan, pihak berkepentingan serta komuniti yang sentiasa menyokong perjalanan LBS.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian individu, tetapi mencerminkan dedikasi dan komitmen bersama rakan sekerja, rakan perniagaan, pihak berkepentingan serta komuniti yang sentiasa menyokong perjalanan kami,” katanya.

Menurut beliau, LBS sentiasa percaya bahawa pembangunan bukan sekadar membina bangunan, tetapi turut mewujudkan peluang, meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membangunkan komuniti yang membolehkan setiap individu berkembang maju.

“Di LBS, kami sentiasa percaya bahawa pembangunan bukan sekadar membina bangunan, tetapi juga mewujudkan peluang, meningkatkan taraf hidup masyarakat dan membangunkan komuniti yang membolehkan setiap individu berkembang maju.

“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia serta pembangunan komuniti ASEAN secara keseluruhannya,” ujarnya.

Di bawah kepimpinan Hock San, LBS telah membangunkan lebih daripada 58,000 unit kediaman serta mewujudkan komuniti yang berkembang pesat, sekali gus memberikan impak positif kepada lebih 200,000 rakyat negara ini.

Berpandukan aspirasi ‘Bersama Membina Masa Hadapan’, kumpulan itu terus memacu inovasi, kelestarian serta pembangunan berteraskan pelanggan di samping memperluaskan penglibatan dalam sektor pertumbuhan strategik yang menjana nilai mampan dan pertumbuhan jangka panjang.

Anugerah tersebut turut memperkukuh komitmen LBS untuk meneruskan legasi visi Hock San dalam membina komuniti mampan, memperkasa generasi masa hadapan serta menyumbang secara signifikan kepada kemajuan Malaysia dan rantau ASEAN. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |