Festival Hari Muzium platform martabat warisan, tarik pelancong ke Johor

6 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 dilihat mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan warisan dan budaya di peringkat global.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu berkata, festival tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Johor yang menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong ke negeri ini.

Menurut beliau, penganjuran program berprestij berkenaan menjadi platform penting dalam mengetengahkan kekayaan warisan, budaya serta identiti unik Bangsa Johor.

“Kehadiran tetamu dari seluruh negara dan rakan antarabangsa sangat bermakna kepada negeri ini.

“Festival ini bukan sahaja menyokong usaha menarik pelancong, malah membuktikan komitmen bersama dalam mempamerkan khazanah warisan serta memperkukuhkan Johor sebagai destinasi pelancongan warisan dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kesejahteraan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini malam ini.

Tambah Ismail, tema festival tahun ini iaitu ‘Muzium Menyatukan Dunia Yang Terpisah’ menekankan peranan institusi muzium sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat merentasi budaya, bahasa dan latar belakang berbeza.

Katanya, festival itu turut menjadi medan kepada pakar-pakar bidang pemuziuman untuk berkumpul, berdialog serta berkongsi pandangan menerusi pelbagai sesi termasuk bicara, bengkel dan demonstrasi.

“Institusi muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak, tetapi berperanan sebagai pusat pendidikan, pemeliharaan warisan serta medium penyatuan masyarakat,”ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk muzium dari Malaysia, Singapura dan Indonesia serta agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat menjayakan festival berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |