Bekas pegawai PTD didakwa ‘pau’ Exco Melaka, seleweng duit raya

10 hours ago 8

MELAKA – Seorang wanita bekas pegawai kanan pejabat ketua menteri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan dana serta memperdaya beberapa individu termasuk dua Exco kerajaan negeri, sejak empat tahun lalu.

Tertuduh D. Puhnitha Devi, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua tujuh pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh sebagai Bendahari persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Melaka didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang tunai kepunyaan persatuan bernilai RM56,000 di sebuah bank di Ayer Keroh pada 24 Mac dan 7 April 2022 lalu.

Tertuduh yang ketika itu merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) turut didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 kepunyaan 30 petugas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Melaka Tahun 2024.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri pada 14 Mei 2024.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara enam hingga lima tahun, dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas empat pertuduhan memperdaya tiga individu termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Melaka untuk menyerahkan wang berjumlah antara RM400 hingga RM 1,500.

Ia kononnya sebagai sumbangan untuk mengadakan Hari Keluarga/Sasaran Kerja Tahunan BKK sedangkan program tersebut tidak akan dilaksanakan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara Jun hingga Julai 2024 di dalam daerah Melaka Tengah. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Peguam Intan Nur Alia Nodzri yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan cadangan RM5,000 diberikan bagi kesemua pertuduhan memandangkan tertuduh tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan sejak setahun lalu.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Terturuh turut diperintahkan untuk perlu melapor diri setiap bulan sekali dipejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 3 Ogos depan bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |