Lebih 1,000 orang dikenakan tindakan perintah khidmat masyarakat

2 hours ago 3

PUTRAJAYA – Lebih 1,000 individu dilaporkan dikenakan tindakan perintah khidmat masyarakat ekoran terlibat kesalahan berkaitan kebersihan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan itu dikenakan kepada individu terbabit sebagai langkah mendidik supaya lebih bertanggungjawab terhadap aspek kebersihan.

“Perintah khidmat masyarakat kini telah menjangkau lebih 1,000 orang dan kebanyakannya telah didakwa ke mahkamah.

“Kita akan susun fasa ke fasa hukuman khidmat masyarakat ini dan saya nampak memang ada impak yang ketara daripada segi kebersihan awam,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ihya Ramadan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat bersama pengurusan tertinggi KPKT sebelum menyertai program Ihya Ramadan dan menunaikan solat Zohor secara berjemaah.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan beberapa langkah reformasi pembersihan awam bermula tahun hadapan bagi memperkukuh identiti tunggal pengurusan kebersihan negara.

Jelasnya, antara langkah yang dirancang termasuk pelaksanaan pembersihan pada waktu malam, penukaran kenderaan kutipan sampah kepada kenderaan elektrik (EV), pelaksanaan kerja ‘deep cleansing’ dan ‘road cleansing’ secara lebih menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPKT merancang untuk membangunkan Projek Residensi Rakyat (PRR) terbesar di negara ini yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,319 unit kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

“Ini satu berita baik di mana KPKT merancang untuk membina PRR yang paling besar dalam negara kita di Sri Permaisuri. Sebanyak 1,319 unit bakal kita bina untuk dijadikan rumah transit kepada mahasiswa dan generasi muda.

“PRR ini akan menjadi yang paling cantik di seluruh Malaysia dan kita akan bangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13. Butir-butir lanjut akan saya umumkan pada majlis pecah tanah nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |