KUALA LUMPUR – Antara hikmah berpuasa ialah dapat merasai kepayahan dan penderitaan orang miskin. Rasa lapar, letih dan dahaga menjadikan hati lebih tersentuh dengan kesusahan orang lain.
Ia seterusnya mengajar kita berkongsi nikmat sesama insan kerana dalam rezeki kita, ada bahagian untuk orang lain yang perlu dibantu.
Bertepatan dengan semangat ini, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama Ikhlas.com meneruskan Program Makeover Rumah yang membawa sinar baharu dalam kehidupan seorang ibu tunggal di Flat Seri Langkawi 2, di sini.
Maizatul Akmal Hussain, 52, sebelum ini merupakan seorang pekerja kilang selama 18 tahun sebelum hidupnya diuji dengan penceraian serta kehilangan anak ketiganya akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Sambil mendepani isu kesihatan termasuk dimasukkan ke dalam wad akibat anemia, dia hidup berdikari seorang diri dengan membuat kuih secara kecil-kecilan yang diletakkan di kedai milik rakannya.
Ketika usahanya itu cukup untuk membeli makanan harian serta melangsaikan bil asas seperti elektrik dan air, wanita ini berdepan cabaran baharu sejak kira-kira tiga tahun lalu apabila rumah pusaka ibu yang didiami mengalami masalah kebocoran pada bahagian dapur sehingga mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
Bagi Maizatul, bantuan yang diterimanya pada bulan yang penuh keberkatan ini bagaikan satu keajaiban selepas sekian lama berdepan kesukaran hidup.
Maizatul menunjukkan dapur rumahnya yang kini dilengkapi mesin basuh baharu sumbangan Ikhlas.com (kanan) berbanding sebelum ini (kiri), yang mana dia hanya mencuci pakaian secara manual menggunakan tangan.“Memang rasa macam mimpi. Saya tak sangka rumah saya boleh berubah dalam masa tiga hari sahaja. Dulu rumah nampak kusam dan tiada seri, sekarang rasa lebih tenang dan selesa.
“Tidak hanya melakukan pembaikan rumah seperti membaiki kebocoran dan kerja-kerja mengecat, mereka turut memberikan perabot dan kelengkapan rumah seperti katil, almari pakaian, mesin basuh, set meja makan, malah televisyen. Selama ini memang saya tiada televisyen di rumah.
“Bila rumah sudah cantik, saya rasa seronok, seakan beroleh satu kekuatan baharu. Terima kasih kepada PPZ-MAIWP, para penyumbang dan sukarelawan yang membantu.
“Saya doakan mereka dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki serta sentiasa dilindungi Allah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.
Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, Maizatul menyimpan satu harapan besar untuk melihat dua orang anaknya pulang beraya selepas sekian lama tidak berkumpul sebagai sebuah keluarga.
“Kalau boleh raya tahun ini saya mahu anak-anak datang. Saya sudah lima tahun tak berjumpa dengan anak perempuan. Saya harap sangat kami dapat berkumpul semula, rumah pun dah cantik,” katanya.
Menurut Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Digital, PPZ-MAIWP, Nor Mukhsar Harun, bantuan yang disampaikan kali ini adalah hasil sumbangan daripada Ikhlas.com berjumlah RM13,000.
Jelasnya, penerima merupakan seorang asnaf yang mendapat bantuan kewangan RM500 sebulan dan bantuan pembekalan barangan keperluan asasi Boost bernilai RM300 sebulan daripada MAIWP.
Bilik tidur Maizatul kini dilengkapi katil (kanan) berbanding perlu tidur hanya beralaskan tilam sebelum ini (kiri).“Selain bantuan berbentuk wang ringgit dan barangan keperluan, kami juga mempunyai Program Makeover Rumah yang telah sekian lama dilaksanakan bergantung kepada keperluan.
“Untuk Puan Maizatul, ia melibatkan kerja-kerja penukaran barangan lama, cat dan pertukangan di ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik tidur utama.
“Sepanjang tahun ini secara keseluruhan di peringkat MAIWP ada 24 Program Makeover Rumah, namun yang melibatkan kerjasama PPZ dan pembayar zakat kami, ada 10 program di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.
“Kami sentiasa mengalu-alukan syarikat korporat di luar sana untuk bersama-sama turun padang bagi melihat dan beroleh pengalaman sendiri bagaimana kami menyalurkan bantuan kepada penerima. Ia secara tidak langsung membina keyakinan serta kepercayaan kepada mereka untuk terus membayar zakat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Unit Gaya Hidup Ikhlas.com, Imran Ismail berkata, pihaknya berbesar hati berpeluang menyertai ziarah ke rumah asnaf untuk mempelajari cara yang betul dan tepat untuk menyantuni penerima.
“Sepanjang bulan Ramadan kali ini, kami bekerjasama dengan PPZ-MAIWP menerusi kempen Ikhlas Memberi, Tulus Membantu bersama rakan strategik seperti Nunha, Airali dan Petit Moi.
“Kempen ini merangkumi pelbagai program termasuk audio siar bersama pempengaruh daripada pelbagai latar belakang, sesi usrah, serta iftar khas bersama selebriti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3
![[VIDEO] Order sampai lambat, tuan rumah jemput rider berbuka puasa sekali](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-09-at-1.18.31-PM.jpeg)








![[VIDEO] Gigih curi kipas sambil gendong beg ‘rider’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/curi-kipas.jpeg)




































