Bukan siren ambulans tapi pasukan polis – KP Melaka

14 hours ago 14

MELAKA – Polis Kontinjen Melaka menafikan dakwaan sebuah video tular yang kononnya pasukan trafik mengutamakan laluan kepada kenderaan VIP berbanding sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat Jalan Taming Sari, di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menjelaskan, klip tular itu dirakamkan sekitar pukul 10.30 pagi yang memaparkan anggota trafik membuat kawalan lalu lintas dengan memberhentikan kenderaan dari arah pusat bandar walaupun lampu isyarat ketika itu berwarna hijau.

Katanya, ketika kejadian pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sedang melaksanakan tugas mengiringi delegasi pelabur insentif dari China.

“Konvoi membabitkan 18 buah bas bergerak dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pintu Gerbang Ayer Keroh menuju ke pusat bandar bagi tujuan promosi pelancongan negeri. Siren polis digunakan untuk mengawal aliran trafik dan memberi laluan kepada konvoi berkenaan.

“Anggota bertugas mengesan sebuah ambulans Bulan Sabit Merah dari arah Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Semabok yang berhenti di lorong kanan dengan lampu beacon merah biru terpasang tetapi tanpa siren kecemasan dan lampu amaran hazard,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, ambulans itu dilihat beratur seperti kenderaan lain dan tidak menunjukkan tanda berada dalam situasi kecemasan.

“Penilaian dibuat atas justifikasi sekiranya ambulans tersebut dalam keadaan kecemasan akan melalui lorong kiri dengan membunyikan siren di lokasi untuk meminta diberikan laluan kecemasan.

“Selepas bas terakhir konvoi melepasi persimpangan, anggota bertugas telah meninggalkan lokasi dan terlihat ambulans tersebut tetap dilorong kanan tanpa bergerak serta tidak membunyikan siren kecemasan seperti yang ditularkan. Bunyi itu adalah siren polis, bukan ambulans,”katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |