PETALING JAYA – Nasib menantu perempuan ketika berkumpul di rumah mentua pada Aidilfitri tahun ini menjadi topik hangat susulan beberapa luahan yang tular di media sosial.
Menerusi hantaran tular seorang wanita, dia meluahkan rasa tertekan apabila mendakwa ada menantu yang seolah-olah dianggap seperti ‘orang gaji’ setiap kali pulang ke rumah keluarga.
“Menantu perempuan semua ok ke tu. Saya rasa nak lari keluar dah ni. Anak-anak semua buat diam sebab ada ipar ni datang untuk jadi orang gaji.
“Kesian suami. Dia pun kena kerah. Sebab yang dah kahwin kena pandai buat kerja. Yang tak kahwin je boleh duduk dalam bilik. Semua mak buatkan. Hmmm,” tulis @Lilypadwonders
Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya turut berkongsi pengalaman yang sama apabila perlu menyesuaikan diri dengan suasana keluarga mentua, terutama ketika musim perayaan atau kenduri.
Seorang pengguna, @Xuxiaxx_, berkata, bukan semua menantu perempuan berada dalam keadaan baik walaupun dari luar kelihatan tenang.
“Menantu perempuan juga ni. Mak mentua ada dua orang anak saja, dua-dua lelaki. Menantu perempuan dia lagi sorang tak reti masak, ada anak autisme tak boleh buat apa. Ya lah, kita ada ekzema ni la nak kena buat, tunggu tangan hancur ja ni.
“Tapi saya lepak dulu dalam bilik, dah la panas. Ekzema kat badan saya dah mencanak naik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @nrsalnaz, mengakui dia cuba membantu setakat yang mampu, namun pada masa sama tetap berasa penat untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu.
“Tengah duduk-duduk kat luar rumah ni. Siap dah tolong mak mentua masak sikit-sikit, lepak-lepak jap. Nak duduk bilik je tak sedap pula, tapi terseksa juga nak cuba masuk dengan suasana baru. Jadi letih. Tapi cuba untuk kuatlah,” ujarnya.
Turut berkongsi pengalaman, @missmarijena mendakwa dia terpaksa melakukan pelbagai kerja dapur bersendirian sejak awal pagi.
“Menantu perempuan sini. Buat sorang-sorang dari siang. Ayam, kupas bawang-bawang, masak, hidupkan api dapur arang sebab tak nak pakai dapur gas. Merecik merata,” tulisnya.- KOSMO! ONLINE

7 hours ago
7















































