BANGKOK – Naib juara dunia, C. Shahmalarani menganggap pingat emas karate kategori kumite wanita bawah 50 kilogram dimenanginya pada edisi Sukan SEA Thailand 2025 kali ini sangat istimewa buat dirinya.
Shahmalarani menepati ramalan apabila mudah menguasai saingan memastikan emas kedua karate menewaskan wakil Myanmar, Florence Nay Chi Htun 4-0 dalam aksi final di Kompleks Kerajaan Ratthaprasasanphakdi, Bangkok semalam.
“Jelas sekali ia sangat istimewa bagi saya. Ia adalah hadiah hari jadi dan saya juga mahu menyumbangkan emas ini untuk Malaysia. Menjadi salah seorang penyumbang pingat adalah detik yang membanggakan bagi saya untuk Malaysia.
“Tekanan beraksi kali ini sangat tinggi selepas Kejohanan Dunia, kerana harapan sangat tinggi. Tetapi, saya berjaya mempertahankan pingat emas saya sekali lagi selepas edisi Sukan SEA di Vietnam dan Kemboja,” kata Shahmalarani yang berada di ranking kelima dunia.
Bagaimanapun, Shahmalarani mengakui tidak tidak boleh terlalu gembira kerana fokusnya selepas ini akan beralih kepada acara berpasukan.
“Kami ada acara berpasukan, jadi nikmati semua itu (kejayaan indvidu) hari ini sahaja, kemudian fokus buat acara berpasukan yang juga sangat penting untuk Malaysia.
“Kami mahu menunjukkan kekuatan Malaysia sebagai satu pasukan itu sendiri. Untuk berpasukan wanita, kita raih emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur,” katanya.
Pingat emas pertama kem karate negara semalam diraih oleh Thevendran Kaliana Sundram menerusi kategori lelaki bawah 55 kilogram (kg).
Thevendran memperagakan aksi cukup garang apabila tidak memberi ruang kepada lawannya dari Vietnam, Chu Van Duc untuk bangkit sebelum mencatat kemenangan bersih 4-0.
Kem karate semalam turut menyumbangkan dua pingat gangsa menerusi Adeola Fay Robert kategori bawah 55kg wanita dan Sureeya Sankar Hari Sankar (bawah 67kg lelaki). – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































