Bolehkah sambut hari raya selama sebulan?

8 hours ago 8

SAYA pernah mendengar bahawa ada seorang ustaz memberitahu Hari Raya Aidilfitri hanya sehari. Orang Melayu sahaja yang menyambut hari raya sehingga sebulan. Betulkah kenyataan ini?

JAWAPAN: Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid kerana hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun. Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga, maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah, Nabi mendapati penduduk Madinah memiliki dua hari yang mereka bergembira padanya, lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” Lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira,” nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Abu daud)

Manakala dalam riwayat yang lain, Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan ketika itu terdapat dua orang hamba perempuan daripada kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as.

Lalu Abu Bakar RA berkata: “Adakah seruling syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis ini berkata: “Antara faedah yang boleh diambil daripada hadis ini ialah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan ahli keluarga pada hari raya, di samping merehatkan badan daripada kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama.

Pada hari raya, umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim.

Ziarah-menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah Baginda SAW.

Suasana di Malaysia, orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara-mara dan rakan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan siaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu.

Tidak dinafikan bahawa hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal.

Bagaimanapun, ia tidak menafikan kebaikan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal mahupun bulan-bulan lain.

Adat kebiasaan di Malaysia pada bulan Syawal, orang ramai akan melakukan ziarah-menziarahi dan ini merupakan adat kebiasaan yang baik.

Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus.

Dalam kaedah fiqh disebutkan: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Kesimpulannya, Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal. Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Namun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat enam sepanjang Syawal, biarpun sibuk melakukan ziarah-menziarahi.

Jangan membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

Read Entire Article
Pertanian | | | |