Geng Lobo aktif curi kabel telekomunikasi tumpas

2 hours ago 3

ALOR SETAR – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah Geng Lobo yang dipercayai aktif melakukan kegiatan curi kabel di seluruh negara sejak tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kumpulan tersebut dikesan aktif pada pertengahan Jun 2025 ekoran beberapa kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia di sekitar daerah ini dan negeri lain.

Kata beliau, kumpulan tersebut yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Lobo ditahan pada 9 Februari lepas dalam satu serbuan di rumah suspek di Pulau Pinang.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini dianggotai kira-kira lima lelaki berusia antara 30 hingga 61 tahun. Kesemua mereka dipercayai penagih dadah serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Kumpulan ini akan menyasarkan kawasan ‘mainhole’ yang dikenal pasti mempunyai kabel  sebelum melakukan curi menggunakan peralatan khas mengesan logam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini hari ini.

Katanya, kabel yang dicuri tersebut kemudian dijual di sebuah premis membeli barangan lusuh di Sungai Petani, dekat sini.

Ujarnya, siasatan polis mendapati kumpulan tersebut dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 27 kes jenayah di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes melibatkan curi kabel, satu kes curi komponen kenderaan dan satu kes menghalang penjawat awam. Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan jenayah itu awal pagi.

“Kes jenayah dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Kedah iaitu lapan kes, Perlis (satu), Pulau Pinang (enam), Perak (tiga), Johor (tiga), Melaka (dua), Negeri Sembilan (tiga) dan Kuala Lumpur (satu),” katanya.

Tambahnya, setakat ini empat kes berkenaan mendapat arahan pertuduhan di mahkamah melibatkan beberapa seksyen esok. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |