Misteri MH370: ‘Kami masih mahukan jawapan’

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Masih segar dalam ingatan, 12 tahun sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, kesedihan dan kerinduan terhadap insan tersayang tetap utuh dalam hati keluarga mangsa.

Dalam hantaran terbaharu di Instagram, isteri kepada kru penerbangan, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, Intan Maizura Othaman berkongsi luahan mengenang suaminya yang hilang tanpa khabar sejak 8 Mac 2014.

Kata wanita itu, meskipun kehilangan pesawat dan kru kapal masih misteri dan tiada sebarang perkembangan baharu, keluarga setiap mangsa tetap menunggu mahukan jawapan daripada apa yang berlaku.

“Masih terasa seperti semalam. Saya masih kerap teringat. Kesedihan memang begitu. Ia tidak akan hilang begitu sahaja, cuma kita belajar menanggungnya dengan cara berbeza.

“Kita tidak bercakap mengenainya setiap hari, tetapi kita memikulnya setiap hari. Kita telah teruskan hidup, tetapi belum melepaskannya dan masih mahukan jawapan,” katanya.

Bercerita lanjut, Intan Maizura berkata, suaminya adalah sahabat dan teman hidup yang disangkakan akan menua bersamanya.

“Namun suatu malam, engkau pergi bekerja dan itu sahaja. Tiada selamat tinggal. Tiada penutupan. Tiada apa-apa. Bahagian itu tidak pernah menjadi lebih mudah.

Walaupun kehilangan tersebut sukar diterima, wanita itu menekankan bahawa keluarga mangsa tetap tabah dan terus kehidupan.

“Kami masih di sini. Masih berdiri. Masih terus melangkah. Entah bagaimana, dalam suatu cara, kami masih mampu bertahan,” katanya.

12 tahun lalu, kehilangan pesawat Boeing 777 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kekal menjadi misteri.

Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, sebelum komunikasi terakhir dengan kawalan trafik udara direkodkan ketika pesawat memasuki ruang udara Vietnam.

Tidak lama kemudian, pesawat bernombor pendaftaran 9M-MRO hilang daripada radar awam, analisis data satelit kemudiannya menunjukkan pesawat dipercayai berpatah balik dan terbang jauh ke arah selatan Lautan Hindi.

Usaha pencarian yang melibatkan pelbagai negara serta syarikat persendirian sepanjang lebih sedekad di kawasan Lautan Hindi yang dipercayai menjadi lokasi terakhir pesawat itu menemui jalan buntu, tanpa sebarang jawapan atau penemuan konkrit.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) memaklumkan operasi pencarian MH370 di kawasan baharu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, masih belum menemukan sebarang bukti yang dapat mengesahkan lokasi serpihan pesawat itu.

MOT berkata, kerajaan kekal komited untuk memastikan keluarga mangsa terus dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu dan akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |