KUALA LUMPUR – Setuju dengan didikan Datuk Seri Aliff Syukri susulan menjaga batas pergaualan anak, pelakon Scha Alyahya menegaskan tindakan tersebut sebagai perkara asas dalam membentuk akhlak anak.
Bagi Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, ajaran menetapkan batas bukan sesuatu yang keterlaluan, sebaliknya anaknya mampu berdikari ketika dewasa.
“Tak nak disentuh? Bagus, bagi saya sebagai ibu bapa banyak benda baharu yang saya rasa kena belajar. Kerisauan yang tak sangka saya ada.
“Meskipun Awal kata saya ‘overthink’ tapi bagi saya itulah naluri mak. Jadi bila kita tahu untuk hadkan batas, benda itulah yang paling penting.
“Itu asas, kalau kita ajar mereka daripada sekarang, insya-Allah besar nanti ada adab dan akhlak yang elok.
“Jadi, takdalah terlalu bebas tapi asalkan kita tahu jaga diri. Hadkan batas bagi saya adalah mungkin dari segi nak bentuk,” katanya kepada Kosmo! Online ketika majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx di sini, hari ini.
Pada masa sama, pelakon filem Telaga Suriram itu memaklumkan selaku ibu bapa, dia perlu menjaga batas pergaulan anak lebih-lebih lagi di zaman serba moden sekarang.
“Kita ibu bapa kan, mereka paling dekat dengan kita. Jadi, itulah cara kita nak bentuk mereka membesar.
“Kita nak ada had dari segi pergaulan, percakapan, media sosial, berborak dengan orang tak kenal. Main permainan video dengan orang yang tidak tahu siapa.
“Itu bagi saya antara batasan pergaulan yang perlu ada dalam hidup, tambahan lagi dengan dunia sekarang,” ujarnya.
Selain itu, isteri kepada pengacara Awal Ashaari itu mengakui tidak teragak-agak menegur sekiranya anak-anak melakukan perkara yang salah.
“Saya selalu nasihat sebab saya seorang yang cepat takut. Jadi, saya akan tengok gadjet (iPad) dia apa dia muat turun, tengok dan bualkan dengan kawan-kawannya.
“Kalau saya rasa benda itu tak elok, saya akan cakap dekat dia dan jelaskan.
“Bagi saya benda yang kalau kita tak jaga atau pantau, mereka macam tak ada had,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, pempengaruh dan usahawan Datin Seri Shahida menceritakan tentang insiden melibatkan anak perempuannya, Raudhah Arshiyah yang dimarahi oleh suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri selepas kanak-kanak itu dilihat bergurau dengan pengurus lelaki mereka.
Katanya, perkara tersebut perlu dititik beratkan walaupun masih kecil bagi menjaga batas pergaualan. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4











![[VIDEO] Pelajar IPT maut kemalangan tiga buah kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-3.36.53-PM.jpeg)





































