BENTONG – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) maut dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 19.4 Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini malam semalam.
Mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan jenis Toyota Yaris, Toyota Alphard dan Ford Rangers itu ialah Puteri Nursyakirah Suzaimi,19, yang menaiki kereta jenis Toyota Yaris.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian kira-kira pukul 7.23 malam itu berlaku ketika kereta jenis Toyota Yaris dinaiki mangsa yang dipandu seorang lelaki warganegara asing dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub.
“Apabila tiba di lokasi kejadian kereta berkenaan telah hilang kawalan ketika melalui jalan lurus lalu terbabas ke dalam longkang dan berpusing ke arah bertentangan.
“Pada masa sama sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard dari arah sama dipercayai turut hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan dan menghempap kereta Toyota Yaris,”katanya.
Tambahnya, sebuah lagi kenderaan jenis Ford Ranger yang melalui jalan sama dipercayai turut hilang kawalan susulan kemalangan di hadapan dan terbabas ke dalam longkang konkrit.
Menurutnya akibat kemalangan mangsa tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta berumur 20 tahun yang merupakan pelajar IPT mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu serta tiga penumpang kenderaan jenis Toyota Alphard termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun mengalami kecederaan manakala pemandu dan empat penumpang kenderaan jenis Ford Rangers mengalami kecederaan ringan.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan.
Jelasnya pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal kenderaan serta mengambil sampel darah dan urin pemandu terlibat.
“Polis meminta kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu kenderaan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

2 hours ago
1















![[VIDEO] ‘Nasib tak kena lempang dengan bomba’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-10.52.09-AM.jpeg)

































