‘Sampai dah iklankan sila hadir ke mahkamah, dia masih enggan’

2 hours ago 2

SHAH ALAM – Pengacara dan pelakon Raja Azura terpaksa membuat permohonan melalui iklan bagi memanggil bekas suaminya hadir ke mahkamah berhubung urusan nafkah anak, namun usaha itu masih tidak berhasil.

Susulan itu, Raja azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku berkata, pihaknya terpaksa mengemukakan satu lagi permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk melaksanakan penghakiman.

“Kami memohon melalui iklan agar dia hadir ke mahkamah, tetapi mungkin dia enggan berjumpa saya atau mungkin ada sebab lain yang saya sendiri tidak tahu.

“Apa yang diminta hanya kehadirannya untuk mengakui bahawa perintah nafkah itu tidak dilaksanakan, namun pada tarikh ditetapkan pun dia tidak hadir. 

“Peguam saya memohon kebenaran hakim agar saya diberikan ‘lesen’ untuk membuat tuntutan ini. Alhamdulillah, walaupun banyak pertanyaan dikemukakan Yang Arif, saya menjawab dengan tenang dan bersyukur keputusan memihak kepada saya,”  katanya. 

Jelas Raja Azura, 54, urusan nafkah adalah satu kewajiban yang perlu diselesaikan secepat mungkin. 

“Nafkah ini adalah kewajipan, bukan sekadar tuntutan undang-undang, malah perintah Allah SWT yang seharusnya dilaksanakan tanpa perlu menunggu tindakan mahkamah,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan pengacara dan pelakon, Raja Azura terhadap bekas suami, Adzmin Osman.

Terdahulu, pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Adzmin, yang didakwa culas membayar nafkah mengikut perintah mahkamah sejak mereka bercerai 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 sebelum berpisah pada 28 September 2010.

Perkahwinan mereka dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |