Pempengaruh terima baucar, sampel produk kena isytihar LHDN

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial atau digital perlu mengisytiharkan semua pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sama ada yang diterima dalam bentuk bayaran tunai atau bukan tunai termasuk baucar atau sampel produk.

Perkara itu antara Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Pendapatan Pempengaruh Media Sosial yang dimuat naik pada laman web rasmi LHDN.

Menerusi garis panduan itu, ia menjelaskan, pendapatan yang diterima oleh mana-mana pempengaruh individu daripada apa jua aktiviti yang dijalankan adalah pendapatan boleh dikenakan cukai.

Perkara berkenaan adalah di bawah perenggan 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) kerana pendapatan tersebut adalah pendapatan daripada menjalankan suatu profesion.

Pempengaruh media sosial boleh menerima bayaran daripada syarikat pemasaran atas perkhidmatan mempromosikan sesuatu produk, jenama atau perniagaan.

“Bayaran boleh diterima sama ada dalam bentuk tunai atau bukan tunai. Bayaran dalam bentuk bukan tunai adalah seperti barangan atau produk keluaran syarikat, perkhidmatan diberikan oleh syarikat, kemudahan atau manfaat, baucar atau diskaun atas jualan, hadiah dan sampel produk.

“Penerimaan bayaran sama ada berbentuk tunai atau bukan tunai ini merupakan pendapatan yang boleh dikenakan cukai atas profesionnya sebagai pempengaruh dan wajib dilaporkan walaupun tiada sebarang kontrak perjanjian ditandatangani oleh pempengaruh,” menurut garis panduan berkenaan.

Garis panduan itu turut menjelaskan mengenai pempengaruh berasaskan objek iaitu pempengaruh yang terdiri daripada watak kartun, watak filem atau sesuatu logo atau lambang yang dicipta.

Pempengaruh berasaskan objek tidak mempunyai sebarang kaitan dengan individu sebenar di dunia nyata yang mana objek berkenaan boleh merangkumi karikatur, animasi, watak kartun, watak dalam filem atau drama, logo, lambang atau nama sesebuah organisasi atau syarikat yang tiada bersangkutan dengan mana-mana individu sebenar.

“Pemilik objek pempengaruh tersebut membuka akaun atas nama objek di platform media sosial.

“Pendapatan yang diterima oleh pempengaruh berasaskan objek merupakan pendapatan yang boleh dikenakan cukai di bawah perenggan 4(a) ACP ke atas pemilik akaun objek berkenaan di platform media sosial,” menurut garis panduan itu.

Sementara itu, seseorang individu dianggap melakukan aktiviti sebagai pempengaruh di media sosial sekiranya melakukan aktiviti-aktiviti seperti menghasilkan (merekod, menerbitkan, memuat naik atau memaparkan) kandungan secara audio, video atau penulisan di media sosial.

Selain itu, muncul dalam sebarang aktiviti, program atau acara di media sosial, atau terlibat bagi sebarang tujuan pengiklanan atau promosi di media sosial.

Seterusnya, menerima bayaran, hadiah atau sebarang manfaat daripada mana-mana pihak disebabkan keterlibatan di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |