Projek RTS Link Malaysia-Singapura siap 65 peratus

13 hours ago 4

JOHOR BAHRU – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Malaysia–Singapura siap 65 peratus apabila struktur Stesen Bukit Chagar serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dilaporkan hampir siap sepenuhnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, RTS Link menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan jejambat mencapai 91 peratus siap, stesen 73 peratus dan CIQ pada tahap 76.8 peratus.

Jelasnya, perkembangan pesat projek mega itu sekali gus menandakan kemajuan signifikan dalam usaha menyediakan perkhidmatan rel moden menghubungkan dua negara jiran tersebut.

“Hari ini saya buat lawatan pertama ke tapak sebaik struktur siap. Kita dah boleh naik sampai ke tingkat platform dan melihat sendiri aliran pergerakan penumpang

“Lebih menggembirakan, set tren RTS dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pertengahan November ini sebelum ujian pergerakan bermula sekitar Disember.

“Namun begitu, orang ramai masih belum dibenarkan menaiki tren pada fasa awal kerana proses integrasi sistem, ujian keselamatan, signaling dan pelbagai pemeriksaan lain perlu disempurnakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat dan tinjauan kemajuan Projek RTS Link di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICCQ) Stesen Bukit Chagar di sini hari ini.

Siew Fook menegaskan menegaskan projek berimpak tinggi itu tetap disasarkan siap sepenuhnya 31 Disember 2026 dan beroperasi mulai Januari 2027.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTSO Dr. Ahmad Marzuki Ariffin memaklumkan kerja-kerja sistem dan operasi kini telah mencapai 65 peratus.

Katanya, satu tren akan dibawa dari Singapore Rail Test Track, manakala tiga lagi set tren dari Batu Gajah akan tiba sebelum hujung tahun ini.

“Secara keseluruhan, sebanyak lapan set tren empat gerabak setiap satu disediakan untuk operasi penuh nanti.

“Fasa ujian dinamik (dynamic test) dan pergerakan bebas tren (free run) dijangka bermula pada Julai 2026 melibatkan keseluruhan sistem operasi kedua-dua negara.

“Tempoh Julai hingga Disember 2026 adalah fasa kritikal untuk memastikan keselamatan, signaling, lif, eskalator serta proses kastam dan imigresen berfungsi sempurna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |