PETALING JAYA – Jumlah kanak-kanak di negara ini yang memerlukan penjagaan dan perlindungan meningkat ketara sebanyak 12.7 peratus kepada 9,624 kes pada tahun 2024.
Laporan Statistik Kanak-Kanak, Malaysia 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan peningkatan membabitkan kanak-kanak lelaki lebih tinggi iaitu 15.2 peratus, berbanding 11.3 peratus bagi perempuan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, angka itu memberi gambaran bahawa lebih ramai kanak-kanak kini berdepan risiko terabai dan memerlukan intervensi sosial.
“Usaha memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak perlu dipertingkat, termasuk dalam persekitaran keluarga dan komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam masa sama, laporan itu menunjukkan bilangan kanak-kanak terlibat dalam jenayah menurun 4.2 peratus kepada 2,627 kes, dengan Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi (82.2 peratus), diikuti Cina (9 peratus), India (4.9 peratus) dan lain-lain (4.1 peratus).
Berdasarkan anggaran penduduk tahun 2025, Malaysia mempunyai 9.03 juta kanak-kanak bawah 18 tahun, bersamaan 26.4 peratus daripada jumlah penduduk negara iaitu 34.23 juta orang.
Daripada jumlah itu, 4.66 juta adalah lelaki, manakala 4.37 juta perempuan. Kanak-kanak bawah lima tahun pula dianggarkan seramai 2.31 juta orang.
Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak bawah 18 tahun (39.9 peratus), diikuti Kelantan (33.5 peratus) dan Terengganu (32.9 peratus). Dari segi bilangan, Selangor paling ramai kanak-kanak dengan 1.81 juta orang, manakala Labuan paling sedikit iaitu hanya 0.03 juta orang.
Laporan itu turut mendedahkan liputan imunisasi bayi menurun bagi lima vaksin utama termasuk Polio, Difteria, Tetanus dan Pertusis (DTP), HIB, Hepatitis B dan BCG.
Sementara itu, bilangan Taska berdaftar meningkat 1.4 peratus kepada 3,198 buah, dengan Johor mencatatkan pertumbuhan tertinggi (29.4 peratus), manakala Putrajaya merekodkan penurunan terbesar (21 peratus).
Menariknya, Malaysia kini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain satu lonjakan besar berbanding kedudukan ke-67 pada 2022/23.
Orang ramai boleh memuat turun laporan penuh Statistik Kanak-Kanak, Malaysia 2025 secara percuma di portal rasmi DOSM di www.dosm.gov.my.- KOSMO! ONLINE.

12 hours ago
4

















































