Dijel lima tahun: Ibu Zayn Rayyan fail notis rayuan di Mahkamah Tinggi

11 hours ago 5

SHAH ALAM – Ibu kanak-kanak Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan bon berkelakuan baik.

Perkara itu disahkan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira, 30, selaku perayu Ketika dihubungi media di sini hari ini.

“Adalah diberi notis bahawa Ismanira Abdul Manaf merayu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang diberikan pada 31 Oktober 2025.

“Ia dimana perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama lima tahun, bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun dengan cagaran RM3000, dengan satu penjamin tempatan serta melaksanakan khidmat masyarakat selama tempoh 120 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh habis tempoh penjara,” kata notis rayuan itu.

Jumaat lalu, Ismanira yang didakwa atas pertuduhan mengabaikan anaknya dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira diakhir kes pembelaannya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh sabitan selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM3,000.

Selain itu mahkamah turut mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan selain permohonan penangguhan hukuman ditolak.

Dengan itu, Ismanira perlu menjalani hukuman penjara tersebut serta-merta di Penjara Wanita Kajang.

Sebelum ini, dalam hujahan bertulis pihak pembelaan menghujahkan keterangan Ismanira bukannya satu penafian kosong semasa wanita itu membela diri sebaliknya keterangan menunjukkan apa yang dikatakan wanita itu adalah konsisten selain tidak membuat fikiran terkemudian (afterthought) semasa memberi penjelasan.

Sementara itu, pasukan pendakwaan pula menghujahkan, keterangan ikut keadaan menunjukkan semasa Allahyarham Zayn Rayyan berada di bawah jagaan Ismanira, tertuduh telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada kemungkinan berlakunya kecederaan.

Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suami Ismanira, Zaim Ikhwan.

Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |