KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi kenderaan dan mengubah nombor casis (rangka) motosikal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan empat lelaki dikenali ‘Geng Pipit’ yang terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh, Sentul pada 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang masih bebas dipercayai mengubah nombor casis motosikal curi menggunakan mesin penanda khas.
Menurutnya, mesin tersebut disyaki dibeli secara dalam talian yang dianggarkan mencecah antara RM600 hingga RM1,500.
“Suspek akan mengikis nombor casis asal motosikal dengan pengisar sebelum menanda nombor baharu menggunakan ‘marking machine’.
“Namun, hasil analisis forensik ke atas kenderaan, nombor asal masih dapat dikesan di bawah nombor baharu yang ditanda,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.
Mengulas tangkapan kes samun, Ahmad Sukarno berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun pada 23 Oktober lepas sebelum memberkas dua lagi suspek berusia 25 dan 32 tahun keesokan harinya.
Katanya, semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan tetrahydrocannabinol.
“Siasatan mendapati tiga suspek termasuk seorang lagi yang masih bebas terlibat dalam kes samun stesen minyak dengan dua bertindak menyamun dan dua lagi menunggu di dalam kereta jenis Perodua Kancil.
“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan pemilik kereta Perodua Kancil yang didakwa telah menjual kenderaan itu kepada kenalan suspek,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman antara tiga hingga 10 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
5

















































