Transporter tak sempat joli upah bawa bunga ganja RM4 juta

12 hours ago 5

ALOR SETAR – Seorang penganggur tidak sempat berseronok dengan wang upah membawa bunga ganja bernilai RM4.04 juta apabila dia dicekup polis di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tol Sungai Dua, Pulau Pinang, Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan di lokasi itu kira-kira pukul 2.30 petang ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui sebanyak 112.43 kilogram (kg) bunga ganja yang disyaki diseludup melalui laluan tikus di Chuping, Perlis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek dari Seberang Perai, Pulau Pinang dipercayai mengambil MPV berkenaan yang didakwa disewa sindiket penyeludupan dadah itu di Air Hitam, Pulau Pinang.

“Dia seterusnya memandu ke Chuping sebelum tiga lelaki tempatan bermotosikal, disyaki ahli sindiket mengambil kenderaan tersebut dan meninggalkannya di sekitar kawasan berkenaan.

“Dalam tempoh kira-kira 20 minit, ahli sindiket dikatakan menyerahkan semula MPV kepada suspek selepas mereka meletakkan dadah di bahagian belakang kenderaan,” ujarnya.

Tambah Adzli, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku berperanan sebagai transporter dadah dengan dijanjikan upah sebanyak RM18,500.

Bayaran pertama diterima secara transaksi dalam talian berjumlah RM16,000, manakala baki akan diserahkan selepas penghantaran selesai.

Katanya, bekalan dadah itu dipercayai untuk dibawa ke ibu negara dan jika terlepas, ia boleh digunakan oleh 224,874 penagih.

“Suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan judi serta negatif dadah kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

“Polis sedang giat mengesan ahli sindiket lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |