Keadaan sebuah kereta yang merempuh dua motosikal mengakibatkan dua maut dan seorang parah di Jalan Rantau Panjang, Sarikei hari ini.
- Oleh CHERINE JON
- 3 November 2025, 4:24 pm
SARIKEI – Dua lelaki maut dan seorang wanita cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan dua buah motosikal dirempuh sebuah kereta di Jalan Rantau Panjang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, kejadian pukul 10 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Inokom Atos dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah Jakar menuju ke Sare hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal jenis Modenas dan Yamaha.
“Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua penunggang motosikal terbabit yang berusia 43 dan 58 tahun maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.
Menurut Aswandy, seorang wanita berusia 58 tahun yang membonceng motosikal Modenas cedera parah di kaki serta kepala manakala pemandu kereta tidak cedera.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
5

















































