Saya suruh masuk rumah, dia kata ‘OK’ dengan senyuman terakhir – Bapa

8 hours ago 5

MELAKA – “Saya suruh dia masuk rumah sebab dah malam, dia jawab ‘ok’ sambil senyum, itu rupanya senyuman terakhir dia,” luah Mohd. Azman Tamsir, 37, bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemukan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di Durian Tunggal, Sabtu lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa, Aidiel Zahrin yang merupakan anak bongsu dari empat beradik sempat menyanyi bersama abangnya lagu ‘Darah Satria’ sambil memegang mikrofon dan kelihatan sangat ceria.

Ujarnya, bagaimanapun tidak lama kemudian tiba-tiba keadaan bertukar kecoh apabila Aidiel ditemukan lemas di dalam kolam yang terletak berhampiran pintu masuk gelangsar (sliding door) di sisi rumah inap.

“Saya masa tu baru lepas suapkan anak ketiga berusia sembilan tahun makan dan ketika hendak basuh tangan tiba-tiba orang dalam rumah menjerit kelam-kabut.

“Abang ipar saya nampak Aidiel dan terapung dalam kolam dengan kedalaman paras dada dewasa. Kami reda kerana ia berlaku di luar kawalan, memang tak ada yang perasan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Mengulas lanjut, Mohd. Azman berkata, Aidiel merupakan anak yang sangat manja dan rapat dengan ibunya, memandangkan mangsa serta abangnya yang berusia lima tahun tinggal bersama isterinya di Jitra, Kedah, manakala dua lagi anak mereka menetap bersamanya di Sabak Bernam, Selangor.

“Sudah lapan tahun kami menjalani kehidupan perhubungan jarak jauh (PJJ), Aidiel memang rapat dengan ibunya, tidur mesti nak peluk ibu dan sebab itu jugalah kami meraikan Hari Keluarga, program seperti ini sangat bermakna.

“Tapi dua minggu lepas, kami pelik dia tak kisah untuk duduk di Temerloh dengan neneknya selama dua minggu, semua sepupu sepapat yang duduk di Kuala Lipis pun sanggup datang ke rumah ibu mentua saya untuk bermain dengannya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebelum tragedi itu, mereka sekeluarga sempat ke Zoo Melaka dan arwah yang memang meminati bola turut meminta dibelikan mainan tersebut di pekarangan zoo, menjadikan ia permintaan terakhir Aidiel yang sempat ditunaikan dan kini terpahat sebagai kenangan paling meruntun jiwa.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |